Berita Utama

COVID-19 di Johor terkawal

5 kluster aktif, Jeri, Meldrum, Bayu, Kempas dan Padang

JOHOR BAHRU, 1 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Situasi COVID-19 di seluruh Johor masih terkawal walaupun wujud kluster-kluster baharu kebelakangan ini, dengan terbaharu Kluster Jeri yang melibatkan daerah Kota Tinggi, Mersing dan Muar, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R.Vidyananthan.

Beliau berkata, peningkatan kes yang dilaporkan khususnya di Kota Tinggi adalah ekoran daripada pencarian kes secara aktif dan aktiviti survelan yang dipertingkatkan oleh pihak Jabatan Kesihatan Johor dalam mengekang penularan pandemik tersebut.

“Sehingga 16 November, jumlah kluster yang aktif di Johor kekal lima kluster iaitu Kluster Jeri, Meldrum, Bayu, Kempas dan Padang,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

R.Vidyananthan berkata, Kerajaan Negeri Johor merakamkan ucapan tahniah kepada semua anggota barisan hadapan, yang terlibat dalam penugasan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Johor Bahru, di Kempas, di sini.

“Pada 16 November, PKPD di ILKKM Johor Bahru telah ditamatkan secara rasminya setelah 14 hari dilaksanakan di kawasan tersebut.

“Kerajaan Negeri Johor ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada semua anggota barisan hadapan daripada pelbagai agensi yang bertungkus-lumus bertugas sepanjang perlaksanaan PKPD di institut tersebut,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button