Berita Utama

‘Government shutdown’ jika Belanjawan 2021 tidak lulus

Impak lebih buruk kerana nisbah penjawat tinggi berbanding populasi negara

KUALA LUMPUR, 1 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Kerajaan tidak akan dapat berfungsi atau ‘government shutdown’ jika Belanjawan 2021 yang sedang dibahaskan di Dewan Rakyat tidak diluluskan.

Ini kerana tanpa kelulusan Belanjawan 2021 dengan peruntukan RM322.5 bilion itu, kerajaan tidak boleh menggunakan wang perbendaharaan negara untuk peruntukan perbelanjaan kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan.

Ini termasuk membayar gaji 1.6 juta penjawat awam dan petugas barisan hadapan (petugas kesihatan, polis dan tentera) yang tentunya memberikan impak besar kepada rakyat yang kini berdepan pandemik COVID-19.

Pakar Perlembagaan daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof berkata situasi ‘government shutdown’ pernah berlaku di Amerika Syarikat (AS) pada 2018/2019 ketika pemerintahan Presiden Donald Trump.

Namun, Muhammad Fathi yang juga Felo Penyelidik Undang-Undang dan Perlembagaan di Pusat Polisi Perdana UTM berkata, jika berlaku di Malaysia, impaknya adalah lebih buruk kerana nisbah penjawat awam di Malaysia adalah tinggi berbanding populasi negara.

“Tidak boleh samakan dengan AS sebab saiz (penjawat awam) kerajaan persekutuan (AS) dengan nisbah rakyatnya kecil. Di AS, sekolah dan hospital banyak pihak swasta. Bila kerajaan tidak berfungsi, ia tak beri kesan besar.

“Dari segi keselamatan seperti polis pula terletak di bawah bidang kuasa negeri di Amerika Syarikat. Ia tak jejaskan kerajaan persekutuan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Muhammad Fathi mengulas mengenai kemungkinan Belanjawan 2021 tidak diluluskan selepas Barisan Nasional (BN) dan pembangkang mengemukakan beberapa tuntutan sebagai sokongan bersyarat kepada Belanjawan 2021 dibentangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 6 November lepas.

Antara tuntutannya ialah membenarkan pengeluaran simpanan sehingga RM10,000 daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pelanjutan moratorium selain mempertikaikan cadangan mengembalikan semula Jabatan Hal Ehwal Khas Jasa (JASA) dengan peruntukan besar.

Muhammad Fathi berkata, dalam konteks Malaysia, belanjawan negara pernah diperuntukkan tanpa melalui kelulusan Parlimen pada 1969.

“Pada tahun 1969, belanjawan diluluskan melalui Ordinan Darurat No 3 Kuasa-Kuasa Perlu untuk tujuan perbelanjaan bagi 1970. Tapi tahun 1970 bukan sebab belanjawan tidak lulus, tapi sebab situasi darurat,” katanya.

Pada awal 2019, Presiden Trump mengisytiharkan darurat di AS bagi membolehkannya meluluskan peruntukan ASD5 bilion untuk membina tembok pemisah di sempadan AS-Mexico tanpa perlu mendapatkan kelulusan Kongres AS.

Media antarabangsa melaporkan proses ‘government shutdown’ akibat perintah darurat selama 35 hari di AS bermula 22 Disember 2018 itu, menyaksikan lebih 800,000 pekerja persekutuan di sembilan jabatan, termasuk agensi persekutuan, terjejas dengan tidak menerima gaji atau diberikan cuti sementara. Untuk rekod, AS mempunyai 328 juta penduduk (statistik 2019).

Penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, semua pihak, kerajaan atau pembangkang, perlu berkompromi supaya Belanjawan 2021 diluluskan.

“Saya tak rasa belanjawan tidak akan diluluskan kerana kerajaan tidak semestinya perlu terima semua cadangan. Risikonya amat besar untuk rakyat dan negara jika belanjawan gagal diluluskan,” katanya menjelaskan kegagalan Belanjawan 2021 juga akan memberi imej negatif terhadap kerajaan PN.

Mengakui risiko krisis politik, beliau bagaimanapun menolak kemungkinan Parlimen akan dibubarkan bagi memberikan laluan pilihan raya umum (PRU) memandangkan situasi semasa COVID-19 yang terus mengancam rakyat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button