Berita Utama

Idea ‘grand coalition’ ke arah politik kenegaraan

NGO sedia atur pertemuan antara parti jika tiada yang berani mulakan

BANGI, 1 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Idea pembentukan ‘grand coalition’ yang dikemukakan Setiausaha Agung Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa boleh menjadi titik permulaan kepada politik kenegaraan.

Bukan hanya baik dan sihat untuk politik negara, idea itu juga boleh meminimakan pencalonan tunggul dan tidak produktif sebagai wakil rakyat.

Ini kerana ekosistem politik sedia ada tidak sihat ekoran terlalu kepartian sehingga lupa agenda lebih besar, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya.

Beliau berkata, selama ini calon parti yang menang dalam pilihan raya kebanyakannya adalah kerana status quo parti semata-mata walau ada yang langsung tidak berwibawa.

“Itulah yang kita lihat ada yang sampai 10 penggal menjadi wakil rakyat hinggakan dewan tandus idea-idea baharu untuk membangunkan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bahkan, lebih teruk lagi apabila budaya buruk seperti konflik dan kepentingan peribadi sering menjadi fokus politik negara seolah-olah milik mereka.

“Mungkin ada yang risau jika ada yang ‘melompat’ blok atau parti kerana masing-masing terpecah dengan parti masing-masing.

“Segera bentang dan luluskan undang-undang atau akta anti-lompat parti kerana setahu saya semua pihak memang bersetuju pun,” katanya.

Semalam, Annuar Musa berkata, sudah tiba masanya negara memerlukan sebuah gabungan politik yang besar (grand coalition).

Menurut Annuar, usaha penyatuan ummah harus menjadi tanggungjawab utama  dan berterusan semua pihak.

“Saya ingin menganjurkan pembentukan suatu ‘grand coalition’ yang melibatkan sekurang-kurangnya 12,13 parti politik yang sealiran.

“Mari kita garabkan penyatuan dan muafakat besar (gabungan/Muafakat Nasional)(anggota MN), GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan GRS (Gabungan Rakyat Sabah).

“Seterusnya beberapa parti yang bebas atau menolak Pakatan Harapan boleh dibawa bersama seperti Warisan, Muda, Pejuang, BERJASA, IPF, Makkal Sakti, PCM dan lain-lain lagi,” katanya.

Menyokong idea Annuar Musa itu, Haji Aminuddin berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sedia mengatur pertemuan semua parti berminat sekiranya tiada pihak yang berani memulakan langkah berkenaan.

Beliau yang juga Pengerusi PEMBELA kecewa kerana negara terlalu tepu dengan budaya taksub atau fanatik kepartian terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu.

“Saya kira kepelbagaian parti politik khususnya parti-parti Melayu di dalam satu gabungan sedikit sebanyak memberikan ruang untuk kita saling kenal-mengenal antara satu sama lain.

“Bukankah ini juga yang dituntut dalam semangat ‘perpaduan ummah’ dan juga semangat muhibbah antara kita,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button