Berita Utama

ISMA sokong idea ‘grand coalition’ dengan cadangan tambahan

Pengaruh DAP dan sekutu hanya akan gagalkan kesepakatan ummah

BANGI, 1 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyambut baik idea Setiausaha Agung Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa yang mencadangkan pembentukan suatu ‘grand coalition’ (gabungan besar) dengan beberapa cadangan tambahan.

Pembentukan ‘grand coalition’ ini sekiranya berlaku, boleh digunakan sebagai ruang untuk meneliti idea-idea baru dan segar yang ada pada badan-badan yang dianggap kecil.

Ini kerana, pendekatan yang berpusing pada idea dan gerak kerja lama, mungkin tidak lagi sesuai untuk fasa yang lebih mencabar pada masa akan datang, kata Timbalan Presiden ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni. 

Katanya, ISMA – gerakan yang memperjuangkan isu-isu rakyat – mengesyorkan supaya ‘grand coalition’ ini tidak hanya terhad kepada gabungan parti-parti sahaja. 

Sebaliknya, beberapa badan dan tokoh yang juga mempunyai pengaruh akar umbi perlu dilibatkan sekali kerana ia akan lebih menggarap kekuatan yang ada pada ummah. 

“Tidak semua orang di Malaysia mempunyai kecenderungan kepada parti tertentu. 

“Sebahagiannya lebih terikat dengan halatuju badan bukan kerajaan (NGO) atau tokoh-tokoh tertentu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Ustaz Fauzi berkata, ‘grand coalition’ ini juga sepatutnya digunakan sebagai senjata serampang dua mata. 

“Di samping disusun untuk merebut kepimpinan negara, ia juga mesti digunakan untuk mematikan pengaruh DAP dan sekutunya jika masih ada di dalam parti-parti gabungan. 

“Penyusupan idea DAP dan sekutunya di dalam parti-parti gabungan jika berlaku hanya akan menggagalkan kesepakatan ummah ini,” tegasnya.

Semalam, Annuar Musa berkata, sudah tiba masanya negara memerlukan sebuah gabungan politik yang besar (grand coalition).

Menurut Annuar, usaha penyatuan ummah harus menjadi tanggungjawab utama dan berterusan dari semua pihak.

“Saya ingin menganjurkan pembentukan suatu ‘grand coalition’ yang melibatkan sekurang-kurangnya 12,13 parti politik yang sealiran.

“Mari kita garabkan penyatuan dan muafakat besar (gabungan/Muafakat Nasional) yang melibatkan BN, PN (Perikatan Nasional) (anggota MN), GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan GRS (Gabungan Rakyat Sabah).

“Seterusnya beberapa parti yang bebas atau menolak Pakatan Harapan (PH) boleh dibawa bersama seperti Warisan, Muda, Pejuang, BERJASA, IPF, Makkal Sakti, PCM dan lain-lain lagi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button