Berita Utama

Kemaruk rebut kuasa, tiada lagi pemimpin perjuang dasar pendidikan

Kerana desakan Dong Zong, menteri hilang kuasa hapus sekolah vernakular

BANGI, 1 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Pemimpin politik hari ini hanya kemaruk berebut kuasa melebihi kepentingan pendidikan negara berteraskan satu aliran.

Oleh sebab itu, negara kini tiada lagi pemimpin Melayu – seperti bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussien – yang lantang memperjuangkan dasar pendidikan kebangsaan, berteraskan bahasa Melayu sebagai pengantar utama.

Allahyarham Tun Razak dilaporkan begitu menjaga kedudukan Sekolah Kebangsaan (SK) di tahap tertinggi, berbanding Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Namun situasi itu berbeza dengan sekarang, kerana pemimpin hari ini tanpa segan silu mempersoal dan mempertikai peruntukan kepada sekolah vernakular, kata Ahli Jawatankuasa Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib Ar-Rumy. 

Beliau yakin, sejak dahulu lagi polisi parti politik Cina ditentukan oleh kumpulan pendesak kaum itu.

Katanya, kumpulan pendesak Cina – yang kekal wujud sehingga kini – sangat berpengaruh bagi memastikan pendidikan kaum mereka tidak mengikut dasar kebangsaan.

“Bagaimanapun, Laporan Rahman Talib berjaya menundukkan kumpulan pendesak ini dengan memberi kuasa kepada Menteri Pelajaran untuk menutup mana-mana sekolah vernakular yang tidak mengikut dasar pendidikan kebangsaan.

“Dan ia terkandung dalam Akta Pelajaran 1961,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Ustaz Shuhaib berkata, akta itu bagaimanapun dimansuhkan selepas didesak pertubuhan radikal Cina, Dong Zong, yang kemudiannya digantikan kepada Akta Pendidikan 1996.

“Akta ini menetapkan Menteri Pendidikan tiada lagi kuasa untuk mana-mana sekolah vernakular, menyebabkan sistem pelbagai aliran kekal sehingga kini,” katanya.

Terdahulu, Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM), Datuk Abdul Raof Hussin berkata, pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) wajar mengambil iktibar daripada sikap ambil berat Allahyarham Tun Razak terhadap bahasa Melayu sehingga mengangkat kedudukan SK di tahap tertinggi.

Sepanjang pemerintahan Allahyarham sebagai ketua negara selama enam tahun, setiap SK dilaporkan menerima peruntukan sangat lumayan jika dibandingkan dengan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).

Abdul Raof berkata, bantuan buku teks juga hanya diberikan kepada mereka di SK sahaja, manakala sekolah vernakular langsung tidak menerimanya.

Beliau menambah, kisah ketegasan Allahyarham Abdul Rahman Talib yang menjadi satu-satunya Menteri Pelajaran berjaya menundukkan pertubuhan radikal Cina, Dong Jiao Zong perlu diteladani.

Katanya, Allahyarham bukan sahaja berjaya mempengaruhi lebih separuh sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) untuk masuk ke dalam sistem pendidikan negara, dengan menggunakan kekuatan politiknya.

Katanya lagi, Allahyarham juga dengan tegas berjaya mewujudkan Akta Pelajaran 1961 yang mampu mengawal selia sekolah vernakular.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button