Berita UtamaDunia

Russia selesaikan perjanjian buka pangkalan tentera laut di Sudan

Pangkalan tampung empat kapal termasuk kapal perang berkuasa nuklear

MOSCOW, 1 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Presiden Russia, Vladimir Putin memerintahkan Kementerian Pertahanan untuk menyelesaikan perjanjian dengan Sudan berhubung penubuhan pangkalan logistik Tentera Laut Russia di negara Afrika itu, lapor agensi berita negara TASS.

Terdahulu, Perdana Menteri Russia, Mikhail Mishustin telah meluluskan draf perjanjian penubuhan pangkalan logistik tentera laut di Sudan pada 11 November. 

Beliau memberikan arahan untuk mengemukakan kertas kerja kepada presiden bagi menandatangani dokumen berkenaan. 

Menurut perjanjian itu, kemudahan logistik Tentera Laut Russia di Sudan akan ‘memenuhi tujuan menjaga keamanan dan kestabilan di rantau ini, bersifat defensif dan tidak ditujukan terhadap negara lain’, lapor TASS.

Pangkalan itu dapat digunakan untuk melakukan pembaikan dan menambah bekalan bagi anggota kapal angkatan tentera laut Russia. 

Perjanjian itu juga menetapkan bahawa ‘maksimum empat kapal perang berada di pangkalan logistik tentera laut, termasuk kapal angkatan laut dengan sistem penggerak nuklear mematuhi norma keselamatan nuklear dan alam sekitar, menurut TASS. 

Pangkalan ini akan berada di bawah bidang kuasa Russia, dan perjanjian itu akan berkuat kuasa selama 25 tahun, dengan pilihan untuk memperbaharuinya bagi jangka masa 10 tahun lagi.

Pusat logistik tentera laut di Sudan itu akan menjadi pangkalan tentera pertama Russia di Afrika selepas kejatuhan Kesatuan Soviet. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button