Berita Utama

Trend kes demam denggi di Selangor menurun

36 kematian setakat 14 November berbanding 50 kes pada 2019

BANGI, 1 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Sejumlah 392 kes demam denggi dilaporkan di Selangor bagi tempoh 8 November hingga 14 November lalu.

Jumlah itu mencatatkan penurunan sebanyak 10.9 peratus berbanding 440 kes pada minggu sebelumnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Indera Dr Sha’ari Ngadiman.

Beliau berkata, sebanyak 42,011 kes demam denggi dilaporkan sehingga 14 November, menurun sebanyak 33.7 peratus (21,394 kes) berbanding minggu sama pada tahun 2019 (63,405 kes).

“Lima daerah utama mencatatkan kes demam denggi tertinggi adalah Petaling 14, 618 kes (34.8 peratus), Hulu Langat 9,051 kes (21.5 peratus), Klang 6,716 kes (16.0 peratus), Gombak 6,187 kes (14.7 peratus) dan Sepang 2,326 kes (5.5 peratus).

“Jumlah lokaliti wabak denggi aktif adalah sebanyak 161 dengan perincian lokaliti hotspot 13, wabak tidak terkawal 15, wabak terkawal 127 dan wabak baru 6,” katanya dalam kenyataan.

Dr Sha’ari berkata, Hulu Langat adalah daerah mendahului bagi bilangan lokaliti hotspot, diikuti Petaling, Klang dan Hulu Selangor.

Katanya, sebanyak 36 kematian dilaporkan dalam tempoh ini, dengan penurunan sebanyak 28.0 peratus berbanding minggu sama tahun lepas iaitu 50 kes.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya kekal fokus dalm kawalan pencegahan demam denggi walaupun trend menunjukkan penurunan kes.

“Pencegahan penyakit demam denggi adalah tanggungjawab semua. Luangkan hanya 10 minit seminggu, pastikan semua takungan air yang tidak digunakan di persekitaran masing-masing dimusnahkan.

“Bagi takungan air kekal hendaklah sentiasa ditutup atau diletakkan ubat pembunuh jentik-jentik serta diperiksa seminggu sekali,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button