Berita Utama

Akta Anti Lompat Parti dijangka berkuat kuasa 2 September: Wan Junaidi

Pindaan akan dibentangkan kepada Agong antara 11 dan 26 Ogos

KUALA LUMPUR, 13 Zulhijjah 1443H, Rabu – Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang akan dibentangkan di Parlimen pada 18 Julai ini dijangka diwartakan sebagai undang-undang selewat-lewatnya awal September, kata Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu berkata, draf telah dimuktamadkan dan RUU berkenaan akan melalui pelbagai peringkat proses enakmen.

Ia dijangka mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 26 Ogos sebelum ia diwartakan antara 29 Ogos dan 2 September, tambahnya.

Kata lagi, perbahasan mengenai pindaan itu akan berlangsung pada 27 dan 28 Julai selepas ia dibentangkan pada Isnin (18 Julai).

“Beberapa menteri telah mengemukakan soalan melalui mesyuarat Kabinet pada 1 Jun dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai Undang-undang Anti Lompat Parti telah menjawab soalan-soalan itu pada mesyuarat Kabinet 13 Julai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Beliau berkata, RUU dan laporan daripada PSC akan dibentangkan di meja Ahli Parlimen pada hari Isnin untuk rujukan mereka.

“Mesyuarat juga bersetuju mengenai (garis masa) pembentangan pindaan di kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta perbahasan pada 27 dan 28 Julai di Parlimen, mengikut budi bicara Speaker.

“Penglibatan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara dengan Ahli Parlimen kerajaan akan diadakan pada 25 Julai dan Ahli Parlimen pembangkang, pada 26 Julai,” katanya.

Wan Junaidi berkata, pertemuan dengan Ahli Dewan Negara akan diadakan pada 8 Ogos, dengan bacaan kali pertama pada 9 Ogos dan bacaan kedua pada 10 Ogos.

“Selepas mendapat kelulusan daripada kedua-dua dewan, pindaan itu akan dibentangkan kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan antara 11 dan 26 Ogos untuk perkenan dan diwartakan antara 29 Ogos dan 2 September,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button