1,707 pekerja di Pahang hilang pekerjaan setakat Oktober
Kerajaan negeri perkenal tiga insentif pengambilan pekerja

BANGI, 2 Rabiulawal 1442H, Rabu – Pahang merekodkan seramai 1,707 pekerja hilang pekerjaan sehingga 30 Oktober lalu.
Berdasarkan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri itu kebanyakan mereka berusia antara 15 hingga 39 tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Seri Mohd Johari Hussain berkata, mereka yang berusia antara 25 hingga 29 tahun paling ramai kehilangan pekerjaan membabitkan 607 pekerja.
Ia diikuti 466 orang berusia antara 20 hingga 24 tahun, 368 (30 hingga 34 tahun); 241 (35 hingga 39 tahun) dan 25 (15 hingga 19 tahun).
Bagi membantu individu yang hilang pekerjaan Mohd Johari berkata, kerajaan negeri melalui Perkeso melakukan beberapa langkah termasuk memperkenalkan portal pekerjaan MyFutureJobs sebagai insentif pengambilan pekerja.
“Portal berkenaan bagi membantu majikan mengiklankan kekosongan jawatan yang tersedia.
“Statistik dari Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso sehingga September lalu, seramai 1,280 majikan di Pahang berdaftar dengan MyFutureJobs yang menawarkan 11,835 kekosongan jawatan,” katanya seperti dilapor Harian Metro hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Nor Azmi Mat Ludin (BN-Kuala Semantan) pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang Ke-14 di sini, hari ini.
Nor Azmi memohon kerajaan negeri menyatakan kadar pengangguran dan statistik anak muda yang hilang pekerjaan di Pahang sebelum dan selepas wabak COVID-19.
Dalam pada itu, Mohd Johari berkata, dua langkah lain dalam membantu individu yang hilang pekerjaan ialah melalui pengambilan pekerja serta penganjuran program karnival pekerjaan dan temu duga terbuka.
“Menerusi tiga langkah ini ia diharap membantu mereka kembali diterima bekerja,” katanya.