Berita Utama

Sistem pendidikan negara sukar direalisasi kerana campur tangan politik?

Pemimpin Melayu gagal pertahan kepentingan watan, menikus bila diasak kesatuan Cina?

BANGI, 2 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Campur tangan politik yang berterusan menyebabkan hala tuju sistem pendidikan negara seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan dan Perlembagaan sukar direalisasikan.

Justeru, penting untuk kerajaan hari ini melihat kembali dasar pendidikan supaya benar-benar berada di atas landasan yang betul seperti mana yang telah digubal dan dilaksanakan pemimpin terdahulu.

Ketua Wanita Barisan Jemaah Islamiyah Se-Malaysia (BERJASA), Azizah Che Awang mengingatkan bahawa rakyat telah lama menyaksikan bagaimana pakatan politik berasaskan kompromi kepentingan kaum telah menggadaikan identiti nasional yang berteraskan Raja Berperlembagaan, Melayu dan Islam.

Katanya, pemimpin politik Melayu yang dominan dalam kerajaan gagal pertahankan kepentingan watan, malah ‘menikus’ dan beralah apabila diasak dan didesak oleh kesatuan ultra kiasu Cina seperti Dong Zong untuk memenuhi kehendak sekolah vernakular.

“Tidakkah mereka sedar bahawa kaum Cina di Malaysia ini, sama ada yang menyokong MCA, Gerakan atau DAP semuanya bersatu menyokong apa sahaja yang dilaungkan oleh Dong Zong.

“Pendek kata apa sahaja yang menyentuh kepentingan sekolah vernakular, pemimpin politik dari MCA, MIC, Gerakan dan DAP akan bersuara tanpa memikirkan sensitiviti kaum majoriti.

“Sudah terang lagi bersuluh kerana falsafah politik Cina adalah mempertahankan sekolah Cina, kebebasan media Cina dan menjaga hak-hak politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina ” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Sementara dalam Belanjawan 2021, Azizah berkata, apabila kerajaan tidak mengumumkan peruntukan untuk sekolah vernakular, timbul ketidakpuasan di kalangan pemimpin parti-parti tersebut.

Walhal, peruntukan itu telahpun disebut untuk sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan, katanya.

“Sekilas info seperti betul tidak banyak peruntukan untuk sekolah bantuan kerajaan, tetapi hakikatnya mereka peroleh lebih banyak. Semua gaji guru dan perjawatan diberikan kepada mereka seperti sekolah kerajaan.

“Mereka dapat peruntukan untuk bina bangunan melalui kutipan awam yang diurus oleh lembaga pengelola sekolah di mana di beri pelepasan cukai pendapatan okeh kerajaan. Jadi tidak hairanlah walaupun enrolmen murid sedikit, sekolah mereka tetap ada dewan dan bangunan canggih.

“Yang sedihnya bila wujud pula pemimpin Melayu yang sangat takut kehilangan pengundi lalu tanpa rasa bersalah akan meluluskan projek di sekolah vernakular walaupun salah dari sudut akta,” katanya kesal.

Serentak itu, pemimpin politik Melayu mesti bijaksana, bertindak dengan hikmah dan berani dalam mempertahankan sekolah kerajaan dengan mengetepikan semua kepentingan peribadi dan kepentingan politik yang akan boleh meruntuh negara bangsa, gesa Azizah.

“Berpegang teguhlah dengan Perlembagaan Persekutuan sebagai tiang seri di dalam menangani cabaran yang tidak dijangka dan pelbagai tuntutan rakyat terutama di dalam situasi ekonomi negara yang mencengkam akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button