Berita Utama

Tiada perjanjian rasmi RPD, pekebun Musang King

Ketiadaan kerana punya kes masih berjalan di Mahkamah Tinggi

KUANTAN, 2 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang hari ini, dimaklumkan bahawa tiada sebarang perjanjian rasmi antara Royal Pahang Durian Group (RPD) dengan pekebun durian Musang King di Raub, kira-kira 200 kilometer dari sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak berkata ketiadaan perjanjian itu kerana kedua-dua pihak mempunyai kes yang masih berjalan di Mahkamah Tinggi di sini.

“Setakat ini, hanya ada dua perjanjian yang dimeterai antara RPD dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) pada Mac lepas dengan kedua-dua perjanjian ini hanya berkaitan pemegang saham dan pembahagian keuntungan.

“Ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan apa jua terma yang dikatakan ditawarkan RPD kepada pekebun selain kerajaan negeri berpandangan ketiadaan perjanjian ini menyebabkan tiada isu Akta Persaingan 2010 berbangkit,” katanya.

Mohd Soffi berkata demikian di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, bagi menjawab soalan Chow Yu Hui (PH-Tras) yang ingin tahu jika kerajaan negeri sedar kontrak yang ditawarkan kepada pekebun durian memaksa mereka menjual buah pada harga yang ditetapkan, sekali gus melanggar akta tersebut.

Beliau menambah, jika sekalipun pekebun atau mana-mana pihak berasakan mereka terkesan dalam isu monopoli pasaran, pihak berkenaan boleh merujuk kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk tindakan selanjutnya.

Menjelas lanjut, Mohd Soffi berkata pekebun durian yang meneroka tanah secara haram juga mempunyai pilihan untuk ‘memutihkan kebun mereka’ apabila ditawarkan skim khusus yang turut membantu urusan eksport tanaman berkenaan.

“Untuk mengeksport hasil tanaman memerlukan Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (myGAP) yang menyatakan tanah terlibat adalah halal, iaitu mempunyai hak milik atau kelulusan daripada kerajaan termasuklah pemberian lesen pendudukan sementara,” katanya.

Kepada dakwaan Chow bahawa pekebun terlibat hanya mencari rezeki dengan menanam durian yang mengambil masa lama untuk mendapat hasil, Mohd Soffi berkata cara mencari rezeki juga perlu dipastikan berjalan mengikut cara yang betul dan lunas undang-undang. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button