Berita UtamaPendapat

Ada mulut jahat dakwa PEMBELA jatuhkan kerajaan Pahang

Kerajaan, Menteri Besar sokong rakyat akan beri imej baik

ALHAMDULILLAH, hari ini saya dan rakan-rakan dari pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) termasuk veteran-veteran tentera hadir ke Wisma Sri Pahang untuk menyerahkan memorandum bantahan rakyat terhadap isu pencerobohan tanah di serata Pahang.

Apa yang membuatkan kami terkilan adalah ada ‘sekatan-sekatan’ yang perlu kami lalui sebelum dapat masuk ke dalam pintu pagar sekalipun.

Rupa-rupanya saya difahamkan ada mulut-mulut jahat yang memainkan naratif bahawa kehadiran kami adalah untuk menjatuhkan kerajaan negeri Pahang dengan isu tanah ini.

Mungkin sebab itu juga Menteri Besar tidak sudi berjumpa dengan kita pada saat akhir walaupun beliau sememangnya sudah maklum akan rombongan kami.

Naratif ini adalah  tidak cerdik kerana sejak bilakah tindakan berpihak kepada rakyat dan menentang penceroboh tanah kerajaan itu dianggap sebagai penentang kerajaan?

Lagipun, tidakkah ‘orang-orang politik’ Melayu Pahang ini sedar bahawa NGO-NGO seperti kamilah antara yang mula-mula berusaha menyatukan kalian atas nama ‘perpaduan ummah’ dahulu di siri-siri himpunan kebangkitan rakyat, di mana saya sendiri adalah pengerusi bagi himpunan raksasa bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD).dahulu?

Lagipun, jika pihak kerajaan atau Menteri Besar sendiri turun sebagai tanda sokongan terhadap kehendak rakyat ini, pasti akan memberikan imej yang baik dan sebagai sokongan moral kepada rakyat menandakan bahawa kerajaan tidak akan tunduk kepada kapitalis-kapitalis ini.

Apa pun, seperti yang saya perkatakan sebelum ini, serahan memorandum ini hanyalah langkah pertama.

Jika tidak berjaya, nantikan sahaja langkah kedua, ketiga, keempat, kelima dan seterusnya.

Buat pengetahuan anda, hari ini juga kami telah menyerahkan memorandum yang sama kepada Jabatan Perhutanan Pahang dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang. Alhamdulillah, sambutan dari pihak mereka adalah baik.

Sebagai anak jati Temerloh, saya berhak bersuara untuk masa depan negeri dan anak bangsa yang tercinta. Bukan orang luar pun.

Aminuddin Yahaya
Presiden ISMA / Pengerusi PEMBELA
18 November 2020

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button