Berita Utama

Aman Palestin pergiat usaha cari dana Tabung Perwira COVID-19

Yakin dapat capai sasaran RM500,000 dalam masa terdekat

MELAKA, 2 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Aman Palestin Berhad Cawangan Melaka terus menggiatkan usaha menambah dana bagi Tabung Perwira COVID-19 2.0 yang dilancarkan bulan lalu, bagi membantu rakyat yang terkesan akibat penularan wabak berkenaan.

Pengurusnya, Muhammad Zulfikar Azlan Mohd Sharif berkata, sehingga kini, kira-kira RM400,000 berjaya dikutip di seluruh negara hasil sumbangan pelbagai pihak dan yakin dapat mencapai sasaran RM500,000, dalam masa terdekat.

“Walaupun penubuhan Aman Palestin memberi fokus membantu rakyat Palestin, Syria, Lubnan dan sekitar Asia Barat, namun melihat kepada suasana ketika ini iaitu ramai rakyat (dalam negara) yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), jadi tabung ini dilancarkan bagi membantu rakyat Malaysia yang terjejas,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Muhammad Zulfikar Azlan berkata, setakat ini, Aman Palestin menyalurkan sumbangan kira-kira RM200,000 kepada 2,000 keluarga di Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna di Sabah.

Beliau berkata, orang ramai boleh menyumbang menerusi pakej keperluan asas bernilai RM100 untuk setiap keluarga kurang berkemampuan menerusi aplikasi Jom Menyumbang Aman Palestin atau memindah wang secara terus ke akaun Maybank Aman Palestin di nombor akaun 562263010787.

Katanya, tabung sama juga telah dilancarkan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu khususnya ketika Ramadan bagi menyalurkan bantuan keperluan asas dan makanan yang siap dimasak bernilai kira-kira RM500,000 kepada rakyat negara ini. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button