Berita Utama

Ceroboh tanah: PEMBELA serah memorandum kepada MB Pahang

Desak kerajaan negeri tidak 'double standard' kepada penceroboh

KUANTAN, 2 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) hari ini menyerahkan memorandum bantahan rakyat berhubung isu pencerobohan tanah dan hutan di negeri Pahang kepada Pejabat Menteri Besar.

Terdahulu, gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan menyerahkan memorandum sama kepada Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri serta Jabatan Perhutanan Pahang.

Memorandum itu mengandungi tujuh tuntutan secara asasnya mendesak kerajaan negeri bersama-sama SPRM, serta Jabatan Perhutanan Pahang bertindak tegas tanpa kompromi dan tidak ‘double standard’ kepada pengkhianat serta penceroboh tanah kerajaan.

PEMBELA turut menggesa kerajaan negeri mendesak Jabatan Perhutanan bertindak tegas merampas kembali tanah-tanah yang telah diceroboh tanpa memberikan sebarang ganti rugi seperti yang dituntut oleh pihak penceroboh.

Kerajaan negeri juga digesa menyokong memperkasakan program pemutihan tanah tanpa campur tangan orang-orang politik dan pihak berkepentingan.

Selain itu, kerajaan negeri juga digesa membatalkan atau menyemak serta mengkaji semula semua perjanjian konsesi syarikat-syarikat korporat yang telah ditubuhkan sebelum ini yang bersubahat bersama penceroboh dan mengaut keuntungan kepada segelintir pihak yang berkepentingan sahaja.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya turut menyatakan tuntutan membatalkan serta-merta pemberian rundingan pajakan tanah pada Royal Pahang Durian Produce – PKPP Sdn Bhd dan diserahkan kembali kepada kerajaan negeri.

Tindakan itu dilihat wajar bagi memastikan isu ini tidak diberikan kepada pihak ketiga.

“… bersama kerajaan negeri memohon Jabatan Perhutanan menggantikan semula Tanah Rizab Melayu dan hutan simpan yang diceroboh atau diteroka oleh mana-mana syarikat pemaju yang mencari keuntungan projek dengan pihak kerajaan negeri Pahang selama ini.

“Ini merupakan langkah pertama, insya-Allah ada langkah-langkah lain yang akan menyusul jika tiada tindakan dibuat,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Pada masa sama, Haji Aminuddin menegaskan isu berkenaan bukan melibatkan perkauman tetapi berdasarkan undang-undang bahawa tanah kerajaan telah diceroboh.

“Isunya mereka menceroboh masuk secara tidak sah tanah-tanah yang menjadi milik kerajaan. Jadi sebab itu kita terpaksa – atas permintaan rakyat semua bersuara – untuk memberikan satu memorandum kepada Menteri Besar supaya tindakan sewajarnya diambil.

“Kita tidak mahu ada campur tangan unsur-unsur lain. Kita ada juga dengar-dengar mungkin ada campur tangan memberi hak ini kepada pekebun,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button