Berita Utama

Vaksinasi: Tiba masa parti politik kerah jentera di pedalaman seperti PRU, PRK

Sekarang waktu terbaik wakil rakyat jadi tulang belakang kepada rakyat

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 21 Syawal 1442H, Rabu – Bagi memastikan kadar vaksinasi rakyat Malaysia terutama sekali warga emas berjalan dengan lebih pantas, kerajaan perlu mengambil berat punca ketidakhadiran janji temu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Terdahulu, dilaporkan bahawa lebih 50,000 individu di tujuh negeri gagal hadir untuk menerima vaksin di PPV.

Difahamkan bahawa antara salah satu punca puluhan ribu individu tidak hadir ke PPV adalah kerana berubah fikiran dan belum bersedia untuk menerima suntikan vaksin berkenaan.

Namun demikian, kata Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Haji Zamani Ibrahim, kerajaan juga perlu memperhatikan individu berkeperluan seperti warga emas yang tidak mempunyai pengangkutan untuk bergerak ke PPV.

“Masih ramai yang tidak hadir untuk janji temu suntikan vaksin. Kita tidak boleh menyalahkan semata-mata orang ramai yang tidak hadir, namun perlu juga melihat faktor-faktor lain yang turut menyumbang.

“Khususnya warga emas yang masih ramai tidak celik teknologi. Oleh itu, kerajaan perlu mengambil pendekatan yang praktikal bagi golongan tersebut,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, parti-parti politik sepatutnya boleh digerakkan untuk menjayakan program suntikan vaksin ini. 

Katanya, sudah sampai masa semua jentera parti digerakkan untuk menyantuni individu bakal divaksin setanding dengan usaha mereka mendekati rakyat pada pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya kecil (PRK). 

“Mengapa tenaga jentera parti tidak diarahkan untuk mengambil semua rakyat yang terlibat dalam janji temu program suntikan vaksin terutama mereka yang warga emas atau mereka di pendalaman yang tiada pengangkutan.

“Saya yakin, di setiap DUN dan Parlimen ada wakil rakyat atau sekurang-kurangnya pegawai penyelaras DUN dan Parlimen. 

“Inilah masanya setiap wakil rakyat menjadi tulang belakang kepada rakyat kawasannya dan memastikan setiap rakyat dibantu untuk mampu hadir pada hari janji temu suntikan vaksin,” katanya.

Sebubungan itu, BERJASA memohon kepada kerajaan Pusat dan negeri supaya dapat menggerakkan jentera parti masing-masing bagi membantu kelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, serta membolehkan Malaysia segera mencapai sasaran imuniti kelompok.

“Ini juga adalah merupakan satu pendekatan menunjukkan kesungguhan kerajaan dan juga pimpinan parti dalam menjayakan program suntikan vaksin.

“Sebarang perbalahan antara parti politik berkaitan kes COVID-19 semakin tinggi tidak memberikan apa apa faedah kepada rakyat. 

“Semua rakyat sudah cukup tertekan dengan pandemik COVID-19 ini. Kini rakyat mahu pimpinan parti politik yang sering mendakwa bijak mentadbir negara untuk menunjukkan kesungguhan dan kematangan,” katanya.

Menurut rancangan rasmi, kerajaan menyasarkan 23.6 juta individu berjaya divaksinasi pada akhir program imunisasi negara.

Terbaharu, dilaporkan bahawa seramai 1,104,873 individu di seluruh negara telah melengkapkan dos kedua vaksin COVID-19 setakat 1 Jun.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button