Berita Utama

Dewan rakyat beritahu SPR kekosongan Parlimen Gerik

SPR perlu isi kekosongan luar jangka dalam tempoh 60 hari

BANGI, 2 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Dewan Rakyat mengemukakan pemberitahuan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengenai kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Gerik.

Kerusi Parlimen Gerik kosong susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman, 63, pada Isnin lalu kerana sakit jantung.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pemberitahuan bertarikh 18 November itu, selaras dengan Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, selaras dengan Perkara 54 Fasal (1), pihak SPR hendaklah mengisi kekosongan luar jangka kerusi berkenaan dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan ada kekosongan.

“Di atas kesempatan ini, bagi pihak Parlimen Malaysia, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Datuk Hasbullah Osman dan mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman serta beramal soleh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Allahyarham Hasbullah mula bertanding sebagai wakil rakyat ketika Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU11) pada 2004 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Temenggor dan menang setelah mengalahkan Mohd Aun Yob Abas dari PKR dengan majoriti 4,666 undi, seterusnya mempertahankan kerusi itu semasa PRU12 dengan menewaskan Moon Akau dari PKR dengan majoriti 4,617 undi.

Pada PRU13, Allahyarham bertanding di kerusi Parlimen Gerik dan menang setelah menewaskan Norhayati Kasim dari PAS dengan majoriti 6,216 undi seterusnya sekali lagi mempertahankan kawasan itu pada PRU-14 dengan majoriti 5,528 undi setelah mengalahkan calon PAS Mohd Dahalan Ismail.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button