Berita Utama

Jujur, ikhlas! Syarat BERJASA sokong ‘grand coalition’

Tak mahu dilaksanakan kerana terdesak, atas kepentingan peribadi

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 2 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) terbuka untuk berbincang mengenai sebarang idea daripada mana-mana pihak atau parti politik, demi kepentingan rakyat dan negara.

Ini termasuk cadangan pembentukan ‘grand coalition’ yang dikemukakan Setiausaha Agung Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa, baru-baru ini.

Presiden BERJASA, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, idea berkenaan boleh direalisasikan dengan syarat ianya jujur dan ikhlas atas kertas, termasuk dalam pelaksanaannya kelak.

Beliau tidak mahu pelaksanaan idea itu dibuat berikutan sikap terdesak atas kepentingan peribadi mahupun individu tertentu.

“Apa yang penting semua parti terlibat dalam ‘grand coalition’ itu mesti diberi hak dan tanggungjawab yang adil dan saksama (equal partnership).

“Ini disebabkan senario politik tanah air telah berubah di mana rakyat telah muak dan bosan dengan politik ‘warlord’ dan gila kuasa masa kini,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, Annuar berkata, sudah tiba masanya negara memerlukan sebuah gabungan politik yang besar (grand coalition).

Menurut Annuar, usaha penyatuan ummah harus menjadi tanggungjawab utama  dan berterusan semua pihak.

“Saya ingin menganjurkan pembentukan suatu ‘grand coalition’ yang melibatkan sekurang-kurangnya 12,13 parti politik yang sealiran.

“Mari kita garabkan penyatuan dan muafakat besar (gabungan/Muafakat Nasional)(anggota MN), GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan GRS (Gabungan Rakyat Sabah).

“Seterusnya beberapa parti yang bebas atau menolak Pakatan Harapan boleh dibawa bersama seperti Warisan, Muda, Pejuang, BERJASA, IPF, Makkal Sakti, PCM dan lain-lain lagi,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Badhrulhisham menyarankan supaya ‘grand coalition’ itu perlu menampilkan agenda besar untuk kepentingan rakyat dan barisan pemimpin yang bersih, berwibawa serta berintegriti.

“Rakyat akan menolak ‘grand coalition’ ini jika pemimpin atau calon PRU yang dikemukakan nanti ada kes rasuah, salah guna kuasa dan lain-lain.

“Sudah sampai masanya rakyat ditawarkan barisan pemimpin yang layak dan boleh diketengahkan daripada parti politik, NGO, penjawat awam dan sektor swasta.

“Formula agihan bilangan kerusi mengikut angka terdahulu, saiz parti atau umur parti tidak lagi begitu relevan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button