Berita Utama

Kes rasuah, salah guna kuasa makin ‘menggila’ sejak PKP

PATI bekerjasama dengan kartel haram untuk kuasai ekonomi

KUALA LUMPUR, 2 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Malaysia Corruption Watch (MCW) menerima banyak aduan berkaitan kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, aduan berkenaan diterima terutama ketika musim penularan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, pihaknya mendapati hal berkenaan telah lama menjadi ‘rahsia yang terbuka’ berikutan terdapat kartel bersekongkol dengan pegawai JIM dalam hal berkaitan ketirisan itu.

“Aktiviti rasuah dalam kalangan anggota kartel ini menjadi tambah menggila sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan.

“Pendatang asing tanpa izin (PATI) sememangnya bersungguh-sungguh untuk masuk ke negara kita bagi menjalankan perniagaan.

“Contoh terbaik adalah di Pasar Borong Selayang yang berterusan dikuasai oleh pendatang Myanmar dan Bangladesh walaupun pelbagai aduan dan cadangan dilakukan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Mengulas lanjut, Jais berkata, ketirisan ekonomi dalam bidang itu juga berlaku disebabkan segelintir rakyat Malaysia tidak berminat berniaga terutamanya dalam yang leceh dan kotor.

Katanya, PATI pula sedar bahawa inilah kelompongan ekonomi yang boleh diambil alih dan mereka sedia bekerjasama dengan sesiapa saja termasuklah kongsi gelap atau kartel haram demi menguasai ekonomi di Malaysia.

“Menurut maklumat orang ramai, PATI bermula sebagai peminta sedekah dan kemudiannya menjadi tauke yang kaya raya.

“Mereka seterusnya berkawan rapat dengan ketua di agensi penguatkuasaan terutamanya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana mahu jalan pintas bagi memproses kad pengenalan rakan mereka yang lain.

“Selain itu, mereka juga rapat dengan ahli-ahli politik untuk membuka ruang peluang membawa masuk lebih ramai PATI ke negara ini,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan operasi dijalankan secara bersama oleh SPRM dan JIM bagi melumpuhkan aktiviti rasuah membabitkan sindiket menyalahgunakan pengesahan cop keluar dan masuk sempadan utama negara adalah sesuatu yang baik.

Bagaimanapun, katanya, rakyat turut merasa cemas dengan peningkatan masalah yang berlaku di sempadan negara, meskipun semua pintu sempadan masih ditutup atas tindakan dan usaha kerajaan membendung penularan COVID-19.

Justeru, beliau menggesa JIM supaya bertindak lebih tegas ke atas mana-mana majikan yang menggaji dan melindungi PATI.

Katanya, langkah itu penting disebabkan terdapat majikan yang masih berdegil melanggar peraturan ditetapkan berhubung proses pengambilan pekerja warga asing di negara ini.

“Selain daripada memperkukuhkan integriti pihak berkuasa di sempadan, terdapat beberapa cadangan lain yang boleh diambil bagi mengatasi masalah ini.

“Ini termasuk bantuan daripada komuniti yang tinggal berhampiran sempadan melaporkan sebarang kegiatan salah laku kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Awam Malaysia (SPRM),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button