Berita Utama

Perancis amal dasar sekularisme

Dakwaan Macron berkaitan kebebasan bersuara, beragama tidak mutlak

BANGI, 2 Rabiulawal 1442H, Rabu – Perancis mengamalkan dasar sekularisme yang memisahkan agama daripada negara, kata Penganalisis di Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia, Muhamad Sayuti Mansor.

Beliau menjelaskan, sekularisme adalah ideologi dan pandangan alam yang memfokuskan kepada aspek keduniaan dan materialisme serta meninggalkan aspek keagamaan.

Katanya, sekularisme versi Perancis pula dikenali sebagai laïcité, yakni sekularisme garis keras yang bersifat asertif.

Melalui dasar ini, sekularisme dianggap ideologi rasmi negara dan perlu memainkan peranan aktif memastikan ruang awam bebas daripada unsur keagamaan.

Selain itu, katanya, dasar Perancis kuat dipengaruhi elemen repbulikasnisme, iaitu sebuah ideologi yang mementingkan hubungan langsung dengan rakyat dengan negara, serta nilai asas yang perlu diterapkan negara kepada rakyatnya.

Ini sekali gus menjadikan justikfikasi bagi dominasi institusi negara dalam ruang awam untuk menerapkan nilai sekularisme sebagai identiti negara, seterusnya menghalang pengaruh nilai keagamaan, katanya.

“Elemen kepelbagaian budaya dan agama yang terhasil daripada kedatangan imigran luar juga kurang diambil kira dalam republikanisme Perancis.

“Bahkan imigran ini yang dilihat perlu berintegrasi sepenuhnya ke dalam masyarakat asal Perancis dan mengutamakan nilai masyarakat sekular yang sedia ada.

“Dengan itu, semua elemen sekularisme, laïcité dan republikanisme ini memainkan peranan besar dalam menentukan hubungan antara negara, agama dan kebebasan di Perancis. Ini tercermin melalui penjelasan Presiden Perancis, Emmanuel Macron terhadap prinsip kebebasan diamalkan di negara beliau, ” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Sayuti berkata, undang-undang antisemitisme digubal untuk menjaga hak masyarakat Yahudi daripada terus didiskriminasi.

Dalam hal ini, katanya, Macron membezakan antara kebebasan untuk mempersendakan agama sebagai sebuah ajaran (blasphemy) dengan larangan untuk mendiskriminasi penganut agama berkenaan (public defamation).

“Oleh itu, perbuatan mempersenda dan memperolokkan Judaisme sebagai sebuah ajaran agama adalah dibenarkan, namun perbuatan menzahirkan kebencian terhadap penganutnya dianggap sebagai antisemitisme yang dilarang.

“Begitu juga halnya dengan reaksi Macron yang mengkritik tindakan boikot serta serangan peribadi yang ditujukan terhadap beliau. Ini dianggap melampaui batasan kerana dapat memudaratkan kehidupan masyarakat serta imej peribadi.

“Dalam kedua hal ini, jelas ideologi sekularisme dijadikan kayu ukur bagi menentukan had kepada kebebasan bersuara,” katanya.

Pada masa sama, Muhamad Sayuti berkata, Perancis mempunyai undang-undang khusus bagi menangani masalah antisemitisme.

Beliau berkata, sebarang perbuatan menzahirkan kebencian terhadap masyarakat Yahudi adalah dilarang termasuk perbuatan mengkritik Israel dan rejim Zionis.

Tindakan Perancis itu menimbulkan persoalan berkenaan layanan berbeza terhadap Islam, di mana perbuatan mempersendakan Islam yang menyemarakkan Islamofobia di Perancis dipertahankan atas nama kebebasan bersuara.

Malah, katanya, reaksi Macron dalam menghadapi kritikan keras masyarakat antarabangsa turut dipersoalkan.

Beliau berkata, Macron seakan melatah apabila dikritik tajam oleh pemimpin dunia seperti Presiden Turki yang menyifatkan beliau sebagai memerlukan rawatan mental.

“Dakwaan kebebasan beragama diamalkan di Perancis turut dipertikaikan. Larangan pemakaian simbol agama seperti hijab bagi Muslimah, mempamerkan salib bagi penganut agama Kristian dan lilitan kepala lelaki Sikh di sekolah, bangunan kerajaan serta tempat awam lain jelas menyekat kebebasan mengamalkan ajaran agama.

“Bahkan tindakan keras diambil kepada mereka yang ingkar seperti tindakan buang sekolah kepada pelajar. Justeru, jelas dakwaan Macron berkenaan kebebasan bersuara dan beragama bukan sesuatu yang mutlak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button