Berita Utama

PGA 10 Sibu tumpas kegiatan pembalakan haram di Mukah

Rampas 80 batang balak, alat dengan nilai keseluruhan RM793,500

SIBU, 2 Rabiulawal 1442H, Rabu – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 10 Sibu menumpaskan satu kegiatan pembalakan haram di Jalan Engkarabai, Lubok Bemban, Mukah, kira-kira 100km dari sini semalam dan merampas 80 batang balak dan peralatan pembalakan yang keseluruhannya bernilai RM793,500.

Komander PGA Briged Sarawak, SAC Mancha Ata dalam kenyataan hari ini berkata kejayaan itu dicapai dalam serbuan yang dibuat sepasukan anggota PGA Batalion 10 Sibu di bawah Operasi Ops Libas di kawasan berkenaan.

“Pasukan PGA berjaya menahan dua lelaki warga tempatan dan hasil pemeriksaan lanjut menemukan 80 batang kayu balak pelbagai saiz, tiga jengkaut, sebuah lori, seunit gergaji berantai, dua pam air dan satu generator (set penjana elektrik),” katanya.

Tanpa menyatakan lebih lanjut maklumat tangkapan berkenaan, beliau berkata tangkapan dan hasil rampasan itu diserahkan kepada pihak Jabatan Hutan Wilayah Sibu untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 96, Ordinan Hutan Sarawak 2015.

Menurutnya sepanjang tempoh operasi tersebut dari awal tahun ini hingga semalam, rampasan bernilai RM35,917,417 telah dicatatkan melibatkan 149 kes dengan jumlah tangkapan 412 orang, terdiri daripada 182 warga tempatan dan 230 pendatang tanpa izin. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button