Berita Utama

UMNO pimpin negara? Tunggulah, rakyat belum sedia terima

'Kerakusan hanya akan menjerumus kita ke lembah hina'

BANGI, 2 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Tiada guna jika UMNO memimpin negara sekarang kerana rakyat masih belum bersedia untuk menerima parti itu.

Justeru, tidak salah jika parti Melayu itu dipimpin buat masa ini, sebagai pengajaran kepada UMNO untuk kembali memimpin pada waktu akan datang, kata pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berhubung kedudukan parti itu di dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Tengku Razaleigh atau Ku Li dilaporkan berkata, UMNO sepatutnya menguasai keajaan dan memegang portfolio penting dalam Jemaah Menteri, kerana mempunyai bilangan Ahli Parlimen paling ramai di Dewan Rakyat.

Meskipun kalah dalam pilihan raya umum pada tahun 2018, Ku Li berkata, parti itu sepatutnya disokong dan bukannya menyokong parti lain, memandangkan ia parti terbesar dalam blok kerajaan.

Prof Mohd Ridhuan Tee berkata, UMNO perlu belajar daripada kesilapan dahulu, bahkan rakyat juga masih memerhati sama ada parti itu sudah benar berubah atau sebaliknya.

“Kesilapan mengajar kita menjadi manusia. Kerakusan hanya akan menjerumus kita ke lembah hina.

“Tunggulah hingga PRU15, jika benar-benar UMNO boleh buktikan kembalikan kepercayaan rakyat, pasti UMNO boleh memimpin kembali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, buat masa ini, UMNO laksanakanlah kerja yang telah diamanahkan, di samping membuktikan semula perjuangan asal partinya.

“Jangan hanya kerana mahukan kuasa yang menjadi lubuk duit, sanggup bersekongkol dengan musuh-musuh Islam seperti ultra kiasu.

“Jadilah seperti pemimpin dahulu. Contohi Rasulullah SAW, para sahabat dan khalifah yang lalu, sanggup berjaga malam memantau masalah rakyat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button