Berita UtamaKolumnis

Annuar Musa perlu jadi calon PAS PRK Parlimen Kemaman

PAS perlukan Ahli Parlimen mantap berhujah di Dewan Rakyat

WAHAI pimpinan PAS, calonkanlah Annuar Musa bertanding PRK Kemaman

Demi untuk kebaikan PAS dan negara jua… 

Kepada pucuk pimpinan PAS, saya sekali lagi ingin mencadangkan dan merayu agar Tan Sri Annuar Musa dicalonkan dalam PKR Parlimen Kemaman tidak lama lagi.

Ini bukan kali pertama saya bercakap, tetapi buat kali kedua, setelah Annuar Musa tidak dicalonkan dalam PRK Parlimen Kuala Terengganu yang lalu. Saya bukan obses atau taksub kepada beliau, tetapi melihat kepada pengalaman dan ketokohannya. 

Hari ini kita bukan sahaja memerlukan pemimpin Parlimen semata, tetapi pemimpin Parlimen yang berkaliber, pandai bercakap dan pandai buat kerja. Paling penting, hadam selok belok politik, menyantuni kawan dan lawan.

Tidak ada calon lain, Annuar Musa. Bukan calon sedia ada tidak layak, dalam PAS, semua calon layak belaka. Tetapi dalam konteks hari ini, kita memerlukan calon yang benar-benar berkaliber dan berwibawa.

Pasti akan menggoncangkan Parlimen, di kala PH BN ‘sibuk’ memancing Ahli Parlimen Bersatu. Nak pancing Ahli Parlimen PAS, tak bolehlah. Dalam PAS, walak ke atas parti sangat kuat, ditambah dengan bai’ah.

Saya ulang kembali, hujah saya kenapa Annuar Musa perlu menjadi calon PAS PRK Parlimen Kemaman.

Pertama, Annuar Musa telah memilih wadah Islam iaitu PAS untuk meneruskan perjuangan politiknya. Annuar Musa boleh sahaja, pilih wadah lain, tetapi PAS tetap jadi pilihannya. Kenapa? Tidak perlu saya hujahkan di sini. Sejak menyertai PAS, Annuar tidak minta apa-apa jawatan, melainkan untuk ‘menghambakan’ diri.

Kelibat Annuar Musa sentiasa kelihatan dalam apa jua majlis PAS dan kempen-kempen PRU, PRN dan PRK. Beliau all out membantu PAS, tidak kira dalam keadaan apa, hujan panas, ribut taufan. Apakah walak Annuar Musa tidak terbukti lagi sejak menyertai PAS? PAS perlu berbesar hati dan memberikan penghargaan ini kepada Annuar Musa. 

Kedua, pengalaman politik (kepartian), Annuar Musa amat mahal harganya. Pengalaman ini tidak boleh dijual beli. Kepetahannya berhujah tidak usah dipertikaikan lagi. Terbukti dan menyerlah. Janganlah ditoleh lagi, ketika beliau memimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN). Tidak boleh dipertikai. 

Ketiga, pengalaman menjadi Menteri beberapa kementerian. Tidak perlu diulas lagi di sini. Cukup sekadar menoktahkan bahawa, pengalaman ini jarang terdapat dalam kalangan pimpinan PAS. 

Keempat, PAS memerlukan Ahli Parlimen yang mantap untuk berhujah di Parlimen. Annuar Musa berbeza dengan Ahli Parlimen lain, walaupun ‘bukan berlatarkelakangkan agama’, beliau turut dapat berperanan sebagai ustaz dalam PAS. Ayat-ayat al-Quran bermain dan meniti dibibirnya. Jika diberi peluang, berkhutbah pun boleh. Serba boleh. 

Kelima, Parlimen pasti akan bergegar dalam sidang yang akan datang jika Annuar Musa ada bersama. Sudah tentu kehadiran Annuar Musa akan menjadikan ultra kiasu menggeletar dengan kepetahannya berhujah.

Keenam, ketika menjadi Menteri, gerak kerja Annuar Musa beliau berstrategi, menyeluruh, berkualiti. Beliau memainkan peranan yang begitu besar alam menyantuni rakyat dan keperluan negara. Contoh lain, ketika menerajui Persatuan Bola Sepak Kelantan sebagai presiden, Annuar Musa berjaya membawa pasukan itu ke mercu kejayaan persada bola sepak tanah air. 

Begitu juga, dalam tempoh sepenggal beliau menerajui dua kementerian iaitu Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Kementerian Multimedia dan Komunikasi (K-KOMM), terbukti kejayaan Annuar Musa, sehingga indeks pencapaian beliau ketika menerajui kementerian berkenaan secara langsung telah menarik dan menanamkan kembali sokongan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ketujuh, Annuar Muda dekat di hati rakyat. Ketika menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan, nasib peniaga kecil terpelihara dengan pengurangan karenah birokrasi dan sebagainya. Begitu juga, nasib gelandangan terbela, malah mereka diberi peluang untuk berdikari. Indeks kebahagiaan rakyat di Labuan dan Kuala Lumpur adalah yang tertinggi mengikut laporan Jabatan Perangkaan (DOSM). Ketika Covid melanda, kadar vaksinasi di wilayah adalah yang tercepat dan tertinggi.

Banyak lagi pencapaian besar lain.

Kelapan, kejayaan dan track record sudah terbukti ketika menerajui K-KOMM, Annuar Musa telah membuktikan kejayaan dalam kelas yang tersendiri. Malaysia berjaya meraih kemenangan semula sebagai Ahli Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) untuk penggal 2023-2026. Ketika menjadi Menteri K-KOMM, perkara pertama yang dilakukannya ialah menjenamakan semula kementerian selaras dengan peranannya yang cukup penting dalam mendepani era digital masa kini.

Kesembilan, PAS (PN) perlukan pemimpin yang kuat jati diri Islam dan Melayu. Kuat Islam sahaja tidak cukup, tanpa Melayunya, sebab ini negara asal usul Tanah Melayu. Ia perlu dipertahankan. Kuat Melayu pun tidak cukup tanpa Islamnya. Dua ciri ini ada pada Annuar Musa. Negara ini perlu dipimpin oleh mereka yang kuat jiwa Melayu Islamnya. Tidak tunduk sama sekali kepada ultra kiasu. 

Kesepuluh, saya bukan jenis orang membodek, tetapi mengenali Annuar Musa sekian lama, pernah sepentas berforum, berada dalam NGO Muafakat Nasional (MN), saya berani mengatakan, jika berlaku kekosongan jawatan Perdana Menteri (PM), Annuar Musa menepati ciri untuk mengisinya. Bukan menafikan yang lain, tetapi dari segi pengalaman dan umur, Annuar Musa, ada kelebihan.

Kesebelas, Annuar Musa adalah individu penting yang memainkan peranan khususnya dalam membawa ke arah penyatuan parti Melayu, UMNO dan PAS sehingga wujudnya Muafakat Nasional.

Saya dapat merasaikannya, kerana sehingga kini, saya masih bersama beliau dalam NGO Muafakat Nasional.

Sebenarnya, banyak lagi berkaitan dengan Annuar Musa yang boleh diketengahkan, walaupun tidak dinafikan setiap manusia ada kelemahannya, cukuplah sekadar ini untuk dilontarkan.

Apapun saya serahkan sekali lagi kepada pucuk pimpinan PAS untuk memikirkannya. Sebagai penulis kerdil bidang politik, inilah strategi terbaik untuk PAS dan PN. Bukan menafikan calon sedia ada, tetapi saya lebih melihat kepada masa depan PAS dan PN dalam kekalutan ahli Parlimen Bersatu ada ura-ura melompat parti. 

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button