Berita Utama

9,167 kes positif COVID-19 berjaya dikesan melalui MySejahtera

23,953,970 pengguna dan tanggungan berdaftar serta 1,058,853 premis perniagaan berdaftar

KUALA LUMPUR, 3 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Penggunaan aplikasi MySejahtera menunjukkan keberkesanan apabila berjaya merekodkan sejumlah 9,167 kes positif COVID-19 sejak dilancarkan pada 20 April lepas sehingga semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, aplikasi bagi membantu pengurusan pandemik COVID-19 itu telah banyak membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mengesan kes-kes positif COVID-19 melalui kaedah penilaian kesihatan kendiri dan pengesanan kontak rapat.

“Sehingga semalam, sebanyak 1,561 kes telah berjaya dikesan dan disahkan positif COVID-19 dengan menggunakan kaedah penilaian kesihatan kendiri.

“Sementara itu, bagi tempoh yang sama sebanyak 7,606 kes telah dikesan positif melalui kaedah pengesanan kontak menggunakan MySejahtera,” katanya dalam kenyataan media mengenai perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sejak dilancarkan, aplikasi itu mendapat sambutan amat menggalakkan daripada semua lapisan masyarakat dan setakat semalam, ia berjaya mencapai 23,953,970 pengguna dan tanggungan berdaftar serta 1,058,853 premis perniagaan berdaftar. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button