Berita Utama

Agama mana halalkan arak? Kenapa ultra kiasu persoal DBKL

Kepercayaan sendiri dilanggar hanya kerana mahu menjadi kaya

BANGI, 3 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Kesilapan memilih ultra kiasu sebagai wakil rakyat menyebabkan agama serta kepercayaan sendiri dilanggar hanya kerana mahu menjadi kaya.

Perkara itu dapat dilihat apabila DAP Wilayah Persekutuan berhasrat mengumpul bantahan dari pihak berkepentingan yang terjejas dengan peraturan baharu penjualan arak beralkohol tinggi oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurut Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai, peraturan baharu itu melanggar hak orang bukan Islam untuk mengamalkan budaya mereka, yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, peraturan itu juga dilihat ‘antiperniagaan’ dan yang menjadi korban adalah peniaga yang mematuhi undang-undang dan membayar cukai.

Lantaran itu beliau memaklumkan akan mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur bagi memohon agar keputusan itu ditarik balik.

Pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah bagaimanapun menempelak dakwaan bahawa garis panduan DBKL melanggar hak bukan Islam dan budaya mereka.

Beliau secara sinis berkata, jika pihak berkenaan tidak menimbulkan masalah kepada orang lain seperti insiden pemandu mabuk dan mengganggu ketenteraman awam, tiada sesiapa akan menentangnya.

“Masalahnya, kamu yang minum, yang matinya orang Islam. Inilah akibatnya apabila memilih ultra kiasu menjadi wakil rakyat. Agama dan kepercayaan sendiri akan dilanggar kerana duit, kerana nak kaya. Wakil rakyat ultra kiasu sebegini tidak boleh dipercayai.

“Pergilah ke negara mana kamu fikir, boleh beri kebebasan minum arak, berbanding Malaysia. Sepanjang kajian, majoriti negara di dunia menghadkan jualan arak akibat mudarat yang ditimbulkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Prof Mohd Ridhuan Tee menegaskan, kerajaan terpaksa menguatkuasakan peraturan berkenaan disebabkan oleh masalah pandemik COVID-19 dan perangai segelintir pihak yang mabuk.

Dengan bantahan dikemukakan itu, beliau mengakui tidak dapat membayangkan sekiranya ultra kiasu masih memerintah.

“Teramat sedih, bila mana persatuan agama bukan Islam diam seribu bahasa? Agama manakah di dunia ini yang menghalalkan arak. Hina sungguh jika ada agama membenarkannya.

“Begitu juga parti-parti politik Melayu Islam dan NGO Islam yang bersekongkolkan dengan ultra kiasu, diam seribu bahasa kerana kepentingan politik.

“Di mana sifat ikram yang kamu laungkan selama ini? Nampak seolah-olah lagaknya seperti lembu suci, tetapi hakikatnya masih jauh daripada suci. Bersih pun belum tentu,” katanya.

Sebelum ini, DBKL memperkenalkan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras yang mula berkuat kuasa pada Isnin lepas

Antara lain, garis panduan tersebut menetapkan bahawa kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober tahun depan.

Bagaimanapun berdasarkan garis panduan itu, pengecualian dibuat untuk penjualan alkohol bagi tujuan perubatan tradisional.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button