Berita Utama

Kaji semula sekolah vernakular, haramkan pertubuhan gugat sistem pendidikan

Anak bangsa 'terpisah-pisah' secara sengaja sejak kecil

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 3 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan mewajibkan bahasa Melayu untuk semua urusan rasmi dan aktiviti dalam institusi pendidikan sama ada di peringkat rendah, menengah mahupun di peringkat tinggi seperti di kolej serta universiti.

Hal tersebut jelas diamalkan di sekolah atau institusi milik kerajaan khususnya, tetapi berbeza halnya di institusi persendirian atau swasta seperti sekolah persendirian dan vernakular.

Dengan kewujudan pelbagai sistem pendidikan seperti kebangsaan dan vernakular, mahu tidak mahu, perlu diakui bahawa anak bangsa negara ini telah terpisah-pisah secara sengaja dari sejak kecil hingga dewasa.

Sedangkan pada masa sama kita mahu mereka bersatu-padu, bermesra, saling berkenalan, bermain dan belajar bersama-sama, kata Ketua Kluster Bahasa, Budaya, Sejarah dan Sastera Majlis Perundingan Melayu (MPM), Kamal Shukri Abdullah Sani.

“Justeru eloklah kewujudan sistem vernakular dikaji semula dan pertubuhan yang ternyata sejarah ekstremnya diharamkan sahaja daripada terus menggugat sistem pendidikan dan perpaduan anak bangsa negara ini.

“Tugas besar Kementerian Pendidikan (KPM) ialah terus menjadikan bahasa Melayu bahasa penghantar tunggal dalam sistem pendidikan di negara ini dari sekolah hingga universiti.

“Mewajibkan bahasa Inggeris untuk semua, manakala Mandarin dan Tamil wajib bagi kaum Cina dan India di samping pelajar Melayu diwajibkan memilih sama ada (bahasa) Mandarin, Tamil atau Arab,” katanya yang menyarankan bahasa lain dijadikan sebagai satu mata pelajaran.

Beliau berkata, semua bahasa adalah anugerah Tuhan untuk diraikan, diajar dan dipelajari bahkan telahpun diizinkankan dalam Perlembagaan untuk diajar sebagai satu mata pelajaran dan bukannya sebagai bahasa penghantar.

“Kita juga tidak bersetuju akan mana-mana bahasa sama ada Mandarin, Inggeris atau lainnya diharamkan. Itu adalah zalim dan merugikan. Kita cuma menentang selain bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa penghantar pendidikan.

“Cukuplah bahasa lain dijadikan satu mata pelajaran malah digalakkan pelajar keturunan lain seperti Melayu mempelajarinya.

“Ada perbezaannya antara bahasa sebagai satu mata pelajaran daripada bahasa penghantar walaupun ada golongan yang telah memutarbelitkan mengenai ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Justeru, Kamal Shukri menyarankan KPM berbincang bersama-sama pakar pendidikan dan bahasa di universiti mengenai kaedah dan pelaksanaannya sama ada bermula dari peringkat rendah atau menengah dengan meneliti pelaksanaan di beberapa negara maju lain serta disesuaikan dengan negara ini.

Katanya, ramai pakar yang berpengalaman luas di negara ini yang sedia membantu.

“Antaranya termasuk Profesor Emeritus Datuk Dr Isahak Haron; Prof Datuk Dr Ir Wan Ramli Wan Daud; Prof Emeritus Abdullah Hassan; Prof Emeritus Dr Shaharir Mohd Zain; Prof Datuk Dr Mohd Yusof Othman; Dr Alinor dan lain-lain.

“Negara kerugian amat besar jika kepakaran dan pengalaman mereka terbazir begitu sahaja dan hanya khidmat pakar luar negara sahaja yang digunakan yang belum tentu memahami mendalam akan kompleksnya sistem ekobudaya masyarakat negara ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button