Kamera badan pada polis dilaksana tahun depan
2,168 unit kamera jenis 4G akan digunakan: KDN

KUALA LUMPUR, 3 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Mulai tahun hadapan, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal dibekalkan dengan peralatan kamera badan atau ‘body cam’ untuk dipakai ketika bertugas.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, langkah itu adalah usaha bagi meningkatkan integriti pasukan keselamatan dalam melaksanakan tugas.
Katanya, perolehan kamera badan itu adalah di bawah pelan pelaksanaan pemasangan kamera badan yang membabitkan cadangan perolehan sebanyak 2,168 unit kamera jenis 4G.
“Perolehan peralatan ini akan dilaksanakan pada tahun depan.
“Kerajaan komited untuk melaksanakan projek pemasangan kamera badan ini selepas mengambil kira kesan positif yang dapat diperoleh.
“Ini bagi mengurangkan kes aduan, perbuatan salah laku dan rasuah dalam kalangan anggota di lapangan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) yang meminta kerajaan menyatakan perkembangan rancangan melaksanakan pelan memasang kamera badan pada anggota PDRM bagi mengelakkan salah guna kuasa dan rasuah.
Tahun lalu, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penggunaan kamera badan pada pegawai penguat kuasa seperti polis, imigresen dan kastam bagi menangani kes salah laku pegawai termasuk rasuah.
Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, syor penggunaan kamera badan itu dipersetujui memandangkan terdapat pelbagai dakwaan salah laku pegawai semasa bertugas seperti memukul orang yang disiasat.