Berita Utama

Kedah mohon PKPB tamat lebih awal

Menteri Besar bentang kedudukan COVID-19 kepada PM

ALOR SETAR, 3 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Kedah memohon Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksana selama empat minggu ditamatkan lebih awal.

Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya telah mengemukakan alasan penamatan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara dalam talian semalam.

Katanya, kedudukan terkini wabak COVID-19 di Kedah turut dibentangkan kepada Muhyiddin.

Jelas beliau, pihaknya mendapati kes positif makin kurang dan berjaya membendung penularan COVID-19, bahkan setakat ini tiada kluster baharu direkodkan.

“Kluster yang diimport dari Pulau Pinang hanya babitkan daerah Kulim,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau berkata, Kluster Assumption membabitkan Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang serta Kulim di Kedah.

Katanya, pihaknya turut membuat permohonan supaya kawasan perindustrian Kulim Hi-Tech Park (KHTP) membabitkan 32,000 pekerja diberikan kelonggaran bagi merancakkan semula aktiviti ekonomi negeri ini.

“Kita harap MKN pertimbangkan supaya dapat lepaskan semua daerah di Kedah, kecuali bagi kes di kawasan tertentu dengan mengecilkan skop agar aktiviti ekonomi kawasan berdekatan dapat kembali pulih,” katanya.

Menurutnya, faktor lain yang boleh dipertimbangkan termasuk kemerosotan sektor pelancongan di Pulau Langkawi yang semakin membimbangkan.

“Lebih 80 peratus aktiviti ekonomi di Langkawi bergantung kepada sektor pelancongan, kalau PKPB lebih lama pulau lagenda itu akan lebih parah. Malah sudah ada rungutan berkaitan perkara ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button