Berita Utama

Kes dadah: Belia Melayu paling ramai ditahan di Johor

Pecahan kesalahan termasuk membekal, memiliki, positif dadah

JOHOR BAHRU, 3 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Seramai 4,176 belia Melayu ditahan di Johor dipercayai terbabit kes berkaitan dadah sejak awal tahun hingga 17 November lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, belia Melayu yang ditahan berusia 19 hingga 30 tahun – dan jumlah keseluruhan tahanan seramai 6,141 individu.

Katanya, mengikut pecahan itu, turut ditahan adalah belia Cina mencatatkan 930 orang, diikuti 515 belia India manakala selebihnya adalah lain-lain kaum seramai 520 orang.

Katanya, bagi pecahan kesalahan, mereka yang ditahan adalah pembekal dadah (848), memiliki (1,911) dan ujian air kencing (3,382).

“Bermula 1 Januari hingga 17 November lalu, kita telah mẹmbuat tangkapan seramai 17,349 individu atas pelbagai kesalahan dadah. Daripada jumlah itu 6,141 orang iaitu 35.39 peratus adalah belia berusia 19 hingga 30 tahun.

“Dalam tempoh yang sama, polis juga berjaya membuat rampasan pelbagai jenis dadah seberat 2.61 tan dengan nilai keseluruhan rampasan bernilai RM28.77 juta. Turut dirampas adalah harta bernilai RM13.42 juta,” katanya seperti dilapor Utusan Online.

Dalam perkembangan lain, Ayob Khan berkata, pasukan polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis daerah Kulai menahan lima lelaki berumur 17 hingga 19 tahun dalam keadaan mencurigakan di sekitar Taman Permainan Bandar Putra Kulai, pada 12.43 tengah malam, semalam.

Tambahnya, hasil pemeriksaan ke atas lima individu termasuk tiga pelajar sekolah itu berjaya menjumpai dadah jenis ganja seberat 3.29 gram bernilai RM164.

Katanya, hasil saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Tetrahudrocannabinol (THC).

“Semakan rekod ke atas semua suspek tidak mempunyai rekod lampau.

“Hasil soal siasat terhadap tiga pelajar ini, kita menahan seorang lelaki berusia 23 tahun yang merupakan pembekal dadah kepada pelajar terbabit.

“Polis Johor berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka bagi membantu pihak polis membanteras penyalahgunaan dadah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button