Berita UtamaDunia

Lebih 400 kanak-kanak Palestin menderita dalam penjara Israel

Didera mental dan fizikal, disoal siasat sambil dibiar kelaparan

RAMALLAH, 3 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Rejim pengganas Israel berterusan menindas rakyat Palestin tanpa mengira usia, paling malang golongan kanak-kanak turut menjadi mangsa kerakusan mereka.

Tatkala kanak-kanak lain teruja menyambut Hari Kanak-Kanak Sedunia esok, lebih 400 kanak-kanak Palestin berusia bawah 18 tahun yang ditahan sejak awal tahun hingga akhir bulan Oktober terpaksa menyambut hari berkenaan di dalam penjara.

Persatuan Tahanan Palestin (PPS) berkata, kebanyakan kanak-kanak yang ditahan berasal dari Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

PPS berkata, seramai 170 kanak-kanak di bawah umur telah ditahan di tiga penjara di seluruh negara.

Lapor persatuan itu, rejim Zionis masih menahan selain mendera kanak-kanak Palestin meskipun berhadapan dengan wabak pandemik COVID-19.

Katanya, semua desakan bagi membebaskan serta melindungi kanak-kanak di bawah umur dari wabak itu tidak diendahkan.

Malah, kanak-kanak di bawah umur sering ditahan di rumah mereka pada waktu malam sebelum disoal siasat selama beberapa jam tanpa makanan.

Sesi soal siasat berlanjutan sehingga dua hari, termasuk penderaan mental serta paksaan untuk menandatangani dokumen yang ditulis dengan bahasa yang mereka tidak fahami iaitu tulisan Ibrani.

Justeru, PPS meminta organisasi hak antarabangsa untuk melindungi kanak-kanak Palestin dan menggesa Israel mematuhi konvensyen mengenai perlindungan kanak-kanak. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button