Dunia

Pemimpin sayap kanan Perancis tuntut lebih banyak masjid ditutup

Gesa semua orang Islam 'beretorik radikal' dihantar pulang

PARIS, 8 Rabiulawal 1444H, Rabu – Pemimpin politik sayap kanan Perancis, Marine Le Pen menuntut lebih banyak masjid ditutup di negara ini, menurut Agensi Berita Anadolu.

Tuntutannya itu dibuat meskipun 24 masjid di Perancis sudah pun ditutup sejak dua tahun lalu atas arahan Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin.

“Dia (Darmanin) menutup masjid di sana, masjid di sini. Dia memecat khatib tetapi dia mesti menutup semua masjid ekstremis di negara kita,” katanya dalam temu bual di saluran TV Perancis.

Ditanya mengenai kriteria untuk penutupan itu, Le Pen berkata, semua orang Islam yang mempunyai ‘retorik radikal’ harus dihantar pulang.

Ogos tahun lalu, pihak berkuasa perlembagaan tertinggi Perancis meluluskan undang-undang ‘anti-separatisme’ kontroversi yang telah dikritik kerana mengecilkan umat Islam.

Rang undang-undang itu diluluskan oleh Dewan Negara pada musim panas lalu, walaupun mendapat tentangan hebat daripada Ahli Parlimen berhaluan kanan dan kiri.

Pentadbiran Paris telah dikritik oleh masyarakat antarabangsa, pertubuhan bukan kerajaan dan pertubuhan hak asasi manusia, terutama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana menyasar serta meminggirkan umat Islam.

Tahun lalu, Perancis mengumumkan rancangannya menutup tujuh masjid dan persatuan di seluruh negara menjelang akhir 2021, atas alasan ‘radikalisme’.

Darmanin mendakwa bahawa langkah itu dibuat selepas mendapati khutbah yang disebarkan di masjid kononnya memupuk kebencian terhadap Perancis. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button