Berita Utama

Perak cadang darurat di Parlimen Gerik

Beri tumpuan atasi COVID-19 berbanding keutamaan politik

IPOH, 3 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Pelaksanaan darurat perlu dilaksanakan di Parlimen Gerik seperti mana Parlimen Batu Sapi bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, cadangan itu adalah paling sesuai dan tepat bagi memberi tumpuan mengatasi COVID-19 berbanding mengutamakan politik.

Beliau mengakui tidak pernah memikirkan mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan itu.

“Apa yang penting sekarang, kita sedang berdepan dengan pandemik COVID-19 yang semakin membarah.

“Perihal politik ini sebenarnya tidak menjadi keutamaan bagi diri saya secara peribadi,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Mengikut undang-undang, Ahmad Faizal berkata, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas notis kekosongan kerusi Parlimen diisytiharkan.

“Mengambil pengajaran daripada titah Yang di-Pertuan Agong yang mengisytiharkan darurat di Batu Sapi, saya fikir mungkin perkara yang sama (darurat) boleh diadakan di Gerik,” katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong bersetuju mengisytiharkan proklamasi darurat di Parlimen Batu Sapi bagi mengelak pilihan raya kecil (PRK) sebagai langkah proaktif membendung COVID-19.

Terdahulu, Dewan Rakyat mengisytiharkan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Gerik kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pemberitahuan itu selaras Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman pada Isnin lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button