Berita UtamaDunia

Pintu sempadan Arar dibuka semula selepas 30 tahun

Kerajaan Iraq mahu rancakkan pelaburan termasuk dengan Arab Saudi

BAGHDAD, 3 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Iraq dan Arab Saudi membuka semula pintu sempadan gurun Arar, semalam selepas 30 tahun penutupannya, kata Suruhanjaya Sempadan Baghdad.

Pegawai atasan termasuk Menteri Dalam Negeri Iraq dan Ketua Suruhanjaya Sempadannya melakukan perjalanan dari Baghdad untuk membuka semula sempadan Arar secara rasmi.

Duta Besar Arab Saudi ke Iraq, Abdulaziz Khalid turut serta dalam upacara memotong reben bersama Menteri Dalam Negeri Iraq.

Arar ditutup sejak tahun 1990 setelah kedua-dua negara memutuskan hubungan berikutan Saddam Hussein menyerang Kuwait.

Sehingga kini, sempadan itu hanya akan dibuka sekali setahun untuk menunaikan ibadah haji di Makkah.

Bagaimanapun, sempadan itu kembali dibuka kerana Perdana Menteri Iraq sekarang, Mustafa al-Kadhimi dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan pemerintah Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Baghdad melihat Arar sebagai sempadan alternatif yang berpotensi selain dengan negara jiran timur, Iran di mana Iraq membawa sebahagian besar importnya.

Iraq adalah pengeluar kedua terbesar dalam organisasi minyak OPEC, yang diungguli oleh Arab Saudi.

Namun, infrastruktur minyak, gas dan elektriknya sangat ketinggalan zaman serta tidak cekap tetapi harga minyak yang rendah tahun ini telah menghentikan usaha untuk memperbaikinya.

Syarikat antarabangsa dan negara-negara asing juga mengadu rasuah yang berleluasa, sehingga menyukarkan pelaburan.

Kerajaan Al-Kadhimi telah berusaha merancakkan pelaburan asing dengan pantas, termasuk sokongan Arab Saudi untuk tenaga dan pertanian. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button