Berita Utama

Proklamasi darurat bukti PN belajar daripada kesilapan

Elok ditangguh PRK akan datang elak penyebaran COVID-19

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 3 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Proklamasi darurat di Parlimen Batu Sapi yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas memperhalusi penjelasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung syor itu, semalam, adalah satu keputusan signifikan.

Presiden Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, meskipun darurat bagi sebahagian tempat di negara ini bukanlah pertama kali diisytiharkan, namun keputusan tersebut memberi kelegaan buat rakyat di kala negara berdepan wabak COVID-19.

“Darurat pernah dilakukan sebelum ini di seluruh negeri Kelantan dan kawasan di Johor dan lain-lain. Tetapi kesan pengisytiharan darurat Batu Sapi kali ini, secara langsung adalah untuk melewatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi. 

“Namun begitu, ini tidaklah bermakna tentera mengambil alih kawasan tersebut. Yang di Pertuan Agong nyata telah berpuas hati terdapat keperluan untuk mengisytiharkan darurat tersebut berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Pada masa sama, Zainul Rijal berkata, keputusan ini juga menunjukkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah belajar daripada situasi kenaikan mendadak kes COVID-19 selepas Pilihan Raya Negeri (Sabah), September lalu.

“Bagi mengelakkan daripada penyebaran COVID-19 adalah molek PRK ini ditangguhkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, syor ini juga sesuai buat PRK lain yang bakal diadakan di masa akan datang. 

“Ini adalah kerana sekiranya diteruskan PRK ramai yang akan menumpu dan datang ke kawasan tersebut dan menyebabkan risiko jangkitan. 

“Kita tak boleh halang orang berkempen secara sah atau mengunjungi rumah ke rumah untuk berkempen. Di sinilah risiko penyebaran wabak akan berlaku,” katanya.

Kerusi Parlimen Batu Sapi diisytiharkan kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong dari Parti Warisan Sabah, pada 2 Oktober lalu akibat jangkitan paru-paru.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 November ini sebagai hari penamaan calon manakala 1 Disember hari undi awal dan hari mengundi pada 5 Disember depan.

Semalam, Agong telah mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi, sekali gus membatalkan PRK bagi kerusi itu.

Proklamasi darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dilakukan selepas memperhalusi penjelasan Muhyiddin yang mempersembahkan nasihat beliau susulan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri berhubung keperluan perisytiharan darurat

Seri Paduka pada petang semalam telah menerima menghadap Perdana Menteri di Istana Negara dan mendengar taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button