Berita Utama

Kembalikan hak guru disiplin merotan elak kes buli

Aspek sahsiah juga perlu diserapkan semula kepada pelajar

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 15 Muharam 1444H, Sabtu – Tiba masa Kementerian Pendidikan (KPM) perkemaskan semula penguatkuasaan hukuman dalam isu buli memandangkan perbuatan tersebut adalah jenayah besar bukan sahaja memberi implikasi kepada pelajar tetapi juga ibu bapa.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, mengenakan hukuman yang lebih tegas kepada pelajar-pelajar terlibat dapat menghentikan kes buli daripada berulang.

“Selama ini, hukuman buang sekolah, sesi kaunseling diberikan pihak sekolah tidak membawa kesan sebaliknya tindakan tersebut hanya bersifat sementara dan kembali lagi berlaku.

“iGuru melihat adalah wajar sekiranya guru-guru disiplin dikembalikan hak untuk merotan supaya kes-kes melibatkan perkara serius seperti buli tidak berulang.

“Tindakan tersebut mampu dijadikan batasan dan asas supaya mereka mengetahui setiap kesalahan yang melakukan akan dibalas dengan rotan yang menyakitkan mereka, menyebabkan mereka akan memikirkan kesan dan akibat perbuatan yang dilakukan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kes buli melibatkan pelajar tingkatan dua di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan yang menjadi tular apabila ibu pelajar berkenaan melahirkan rasa kesal dengan pengurusan yang lambat bertindak.

Mengulas lanjut, Ustaz Mohd Azizee menjelaskan, masalah buli berpunca kerana wujud faktor ruang dan peluang yang di asrama serta sekolah berkenaan.

“Ini jelas membuktikan kawalan sekolah dan pemantauan pihak sekolah berkenaan perlu diperhebatkan supaya warden dapat menjalankan tugas mengikut SOP yang ditetapkan.

“Kesesuaian warden dalam menjalankan SOP tersebut menyebabkan pelajar menggunakan ruang dan peluang pada waktu malam untuk tindakan tidak sepatutnya dan ini merupakan elemen yang diberikan perhatian pihak sekolah terbabit,” katanya.

Ustaz Azizee pada masa sama berpandangan, penekanan semula melibatkan aspek sahsiah pelajar terutama dalam hal keagamaan perlu diserapkan semula.

Katanya, ini kerana jiwa yang kosong mendorong pelajar membuat kepada perkara yang tidak bermanfaat.

“Pendidikan negara kini lebih berasaskan pencapaian akademik semata-mata, sehingga kita terlupa menanam pembangunan sahsiah selain penerapan nilai agama yang kurang.

“Hakikatnya pelajar hari ini semakin hilang adab kerana terlalu mengejar ke arah pencapaian akademik semata-mata,” tegas beliau.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button