Artikel KhasBerita Utama

Tuduhan kepada Ikhwan Muslimin melulu, tiada bukti

Fatwa haram normalisasi Israel dengan negara Islam lebih penting

KENYATAAN Badan Ulama Arab Saudi pada 11 September 2020 telah mengisytiharkan bahawa Ikhwan Al-Muslimin (IM) adalah pertubuhan pelampau atau pengganas.

Antara tuduhan yang dilemparkan kepada IM adalah seperti berikut:

i-Sesat dan diharamkan berdasarkan petunjuk al-Quran dan Sunnah.
ii-Didirikan untuk menentang pemerintah dan memberontak.
iii-Memfokuskan kepada menimbulkan kekacauan di dalam negara.
iv-Menimbulkan huru-hara dan ketidaktenteraman.
v-Menyifatkan masyarakat sebagai jahiliah.
vi-Tidak bertunjangkan akidah Islamiah sejak awal penubuhan.
vii-Sejarah yang penuh dengan porak peranda dan kekacauan.
viii-Melahirkan pertubuhan-pertubuhan pelampau daripadanya.

Majlis Ulama ISMA (MUIS) berpandangan bahawa, kelapan-lapan tuduhan di dalam kenyataan itu secara jelas adalah tuduhan melulu dan tidak bersandarkan kepada apa-apa bukti dan hujah.

Jika diperhatikan keseluruhan isi kenyataan tersebut, tiada sepotong ayat al-Quran dan hadis yang secara khusus mensabitkan 8 perkara diatas.

Malah, tiada sekelumit pembuktian yang disertakan bersama Bayan tersebut.

Bahkan, jika diteliti akan didapati kenyataan tersebut secara jelas bercanggah dengan Fatwa No-6250 daripada Lajnah Daimah Lil Buhuth Wal Ifta, yang dipengerusikan sendiri oleh Ibn Baz rahimahullah dengan menyatakan secara jelas dijawab persoalan berkaitan: “Apakah jemaah yang melaksanakan kitab dan sunnah?”

Maka dijawab: “Pertubuhan yang paling hampir dengan kebenaran dan paling menjaga dalam perlaksanaanya adalah; ahli Sunnah yakni ahli hadis, dan Jemaah Ansar Sunnah kemudian adalah Ikhwan Muslimin.”

Kami menggesa pihak Badan Ulama Arab Saudi menarik balik Bayan ini atas tuduhan yang tidak berasas inilah yang tidak mengikuti sunnah.

MUIS juga menegaskan bahawa fatwa berkaitan “Haram Normalisasi Israel Sebagai Rakan Sekutu Negara-Negara Islam” adalah jauh lebih utama berbanding Bayan yang dikeluarkan.

Malah, beberapa keraguan serius berkaitan kenyataan ini perlu diperjelaskan seperti:

Tujuan kenyataan ini dikeluarkan di dalam keadaan hangat isu normalisasi hubungan negara Islam dan Israel.

Tambahan pula, ucapan tahniah menerusi akaun Twitter milik IsraelArabic yang memuji Bayan menambah keraguan dan tanda tanya terhadap tujuan di sebalik Bayan ini.

Siapakah ulama yang bersetuju dan bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan ini?

Di mana sebahagian aktor yang terlibat di dalam Badan Ulama Arab Saudi, iaitu Muhamad Issa yang pernah menyatakan tiada Islam Politik di mana pun, termasuk Perancis, di kala kehangatan isu umat Islam dibantai di sana.

Sebagai penutup, kami ingin menegaskan bahawa kenyataan ini jelas tidak memiliki roh memandu umat Islam kepada kesatuan, keharmonian, dan ukhuwwah Islamiah dan MUIS menggesa supaya ianya ditarik balik.

Malah, kami menegaskan bahawa amal perubahan yang telah dilaksanakan Ikhwan Muslimin di seantero alam cukup menjadi bukti bahawa tuduhan yang dibuat tidak mempunyai asas, dan merupakan suatu keterangan yang bersifat politik.

Wallahu a’alam.

Ustaz Mohd Suhail Mohd Sufian
Naib Pengerusi
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button