Berita Utama

UMNO cadang kerajaan bawa usul percaya terhadap Perdana Menteri

Perlu jadi keutamaan untuk dibawa pada persidangan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 3 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) mencadangkan kerajaan membawa usul undi percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat.

Membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021, Presiden UMNO itu berkata kerajaan perlu menjadikan usul undi percaya sebagai urusan kerajaan yang diutamakan untuk dibawa pada persidangan Dewan Rakyat ini.

“Sama ada terdapat usul undi percaya atau sebaliknya, ia hendaklah diuji di dewan yang mulia ini. Jika ini tidak dapat dilakukan kerana kekangan peraturan mesyuarat, sesuatu mesti disesuaikan, dengan urusan kerajaan mesti diutamakan

“Biarlah kerajaan yang menjadikannya sebagai urusan kerajaan diutamakan menjadi usul undi percaya dibawa ke dewan yang mulia ini,” katanya.

Ahmad Zahid juga mahu agar mandat rakyat dikembalikan kepada rakyat secepat mungkin kerana suara rakyat perlu diberi keutamaan.

“Dalam perkara ini, kita ketepikan perbezaan sama ada di sebelah sini atau sebelah sana (blok kerajaan atau pembangkang) demi rakyat, demi dewan yang mulia ini. Marilah kita bersatu hati untuk melihat mandat rakyat harus diberikan semula kerana mandat rakyat adalah mandat keramat,” katanya.

Beliau berkata proklamasi darurat bukan pilihan malah telah ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu dan sehubungan itu percubaan untuk mencadangkan proklamasi darurat seluruh negara dalam apa bentuk sekali pun wajib ditolak oleh ahli dewan yang mulia ini.

“Namun, rakyat menerima proklamasi darurat setempat yang diumumkan untuk Batu Sapi, kita memahaminya,” katanya.

Menyentuh mengenai Belanjawan 2021, Ahmad Zahid mencadangkan agar yuran penuntut universiti dikurangkan memandangkan terdapat 1.1 juta penuntut institut pengajian tinggi awam dan swasta yang terjejas, selain belia dan lepasan sekolah yang merupakan penganggur tidak ketara juga mesti diberi kepedulian.

“Lihatlah juga doktor-doktor persendirian yang klinik persendirian mereka terpaksa ditutup. Kumpulan GP (pengamal perubatan umum) ini wajib dibantu dengan mewujudkan skim rangsangan ekonomi yang dapat membantu mereka kerana mereka kekurangan dan kehilangan pesakit,” katanya.

Selain itu, institusi kewangan dan syarikat kewangan berlesen perlu bersimpati dengan peminjam yang kehilangan pekerjaan dan kekurangan pendapatan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button