Berita Utama

Masalah banjir: Jalan Reko Kajang akan dinaik taraf

Projek perlukan masa kerana ambil alih tanah persendirian

BANGI, 15 Rabiulakhir 1445H, Isnin – Projek tebatan banjir di bahagian Jalan Reko di Kajang, Selangor akan dimulakan tahun depan.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, jalan sepanjang 3.5km berhampiran stesen KTM Kajang 2 akan dinaik taraf sebagai penyelesaian jangka panjang di kawasan panas banjir.

Beliau berkata, projek itu yang dianggarkan menelan belanja RM92 juta akan dibiayai oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor.

“Projek itu melibatkan kerja-kerja meningkatkan paras jalan dan kapasiti sistem perparitan, dan telah diluluskan pada 2021.

“Bagaimanapun, pelaksanaannya mengambil masa kerana keperluan untuk mengambil alih tanah persendirian di sepanjang jalan itu.

“JKR Selangor dalam proses terakhir untuk mendapatkan tanah yang diperlukan… yang melibatkan 35 lot persendirian.

“Kerja dijangka bermula pada suku pertama tahun depan,” katanya semasa melawat tapak itu, hari ini.

Selain kapasiti saliran yang tidak mencukupi, Syahredzan seperti dilapor The Star berkata, satu lagi punca banjir adalah serpihan terperangkap dalam perangkap sampah, yang kadangkala menghalang aliran air dan menyebabkan limpahan air.

“Sebagai langkah jangka pendek, saya telah meminta pihak berkuasa untuk memastikan sampah dibersihkan dari perangkap dengan kerap dan memantau keadaan sistem perparitan bagi meminimumkan kejadian banjir,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button