Berita Utama

2,000 tapak perniagaan dibuka untuk anak muda kota

Secara tak langsung 4,000 peluang pekerjaan diwujudkan

PUTRAJAYA, 4 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Kementerian Wilayah Persekutuan menyasarkan untuk menyediakan 2,000 tapak perniagaan untuk anak muda kota, di bawah Program Usahawan Anak Muda Kota Wilayah Persekutuan dalam tempoh dua tahun, kata Menterinya Tan Sri Annuar Musa.

Setakat ini, katanya sebanyak 1,122 ruang perniagaan di 169 lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya telah disediakan di bawah program tersebut, bagi membantu anak-anak belia kota yang terjejas dan kehilangan punca pendapatan akibat pandemik COVID-19.

“Kalau satu tempat perlukan sekurang-kurangnya dua pekerja, oleh itu 4,000 peluang pekerjaan tersedia kepada anak muda kota, secara tidak langsung mereka mendapat manfaat daripada program ini,” katanya kepada media selepas menyampaikan lesen perniagaan kepada usahawan muda kota Putrajaya, di sini hari ini.

Annuar berkata, sejak diumumkan pada 7 Julai lepas, program tersebut telah menerima sambutan yang memberangsangkan dengan jumlah permohonan yang menggalakkan

Beliau berkata, antara kriteria asas dalam proses pemilihan program itu adalah alamat kediaman pemohon mestilah di Putrajaya atau Kuala Lumpur, dan keutamaan akan diberikan kepada belia berusia 18 hingga 35 tahun dan mereka yang hilang pekerjaan serta aktiviti perniagaan akibat kesan pandemik COVID-19.

“Pemohon yang mempunyai pengalaman yang luas bersesuian dengan premis yang dipohon adalah satu kelebihan,” katanya.

Mengenai program ‘wilayah bebas berniaga’, Annuar berkata pihaknya menerima maklumat terdapat pihak yang cuba menjadi sindiket orang tengah dengan menguasai sesuatu kawasan untuk mengutip bayaran sewa tapak.

“Tidak perlu ada sistem orang tengah, kerana setiap peniaga yang ingin berniaga hanya perlu berurusan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya, supaya mereka membuka gerai mereka di tempat yang dibenarkan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Annuar meminta agar semua ahli parlimen menyokong Belanjawan 2021 pada sesi pengundian pada 26 Nov nanti, kerana penting ia diluluskan supaya urusan perjalanan kewangan negara tidak terganggu.

“Tidak salah untuk kita cadangkan dasar dan penambahbaikan seperti menyambung moratorium dan akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh dikeluarkan.

“Saya rasa itu elok dan bagus dan kerajaan perlu ambil perhatian. Jadi bukan bermakna apabila Belanjawan dibentangkan, itu sahaja, yang lain sudah tidak boleh dibuat. Itulah gunanya perbahasan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button