Berita Utama

Sabotaj mungkin punca gangguan LRT Kelana Jaya

Badan antarabangsa dilantik siasat sama ada sistem digodam

KUALA LUMPUR, 16 Rabiulakhir 1444H, Jumaat – Kementerian Pengangkutan tidak menolak kemungkinan sabotaj sebagai punca gangguan di laluan transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kementeriannya akan melantik badan antarabangsa WSP untuk menyiasat sama ada sistem LRT itu telah digodam, antara lain.

“Kerajaan telah memutuskan untuk melantik badan antarabangsa yang terkenal, WSP, untuk memerhati setiap aspek, termasuk kemungkinan sabotaj.

“Walaupun keputusannya berdasarkan data dan fakta, kita (juga) perlu melihat aspek lain dan bukannya membuat pertimbangan sendiri,” katanya.

Terdahulu, Wee menyebut bahawa dua kerosakan pada landasan dikesan semasa pemeriksaan; yang pertama ditemui di salah satu pusat kawalan kenderaan (VCC) dan satu lagi di pusat pengurusan isyarat (SMC).

Gangguan pada VCC telah menyebabkan sistem kehilangan signal antara pusat kawalan dan tren semasa operasi.

“Terdapat kerosakan pada salah satu VCC. Disebabkan ini, kami tidak dapat melihat arah tren dari sistem.

“Oleh itu, pengilang peralatan asal (OEM) Thales Group dari Toronto, Kanada, telah mengikuti pemeriksaan secara maya dan menjalankan ujian untuk sebarang penyelesaian masalah di landasan,” katanya.

Susulan kerosakan itu, operasi di 16 stesen sepanjang laluan Kelana Jaya telah digantung dari 9 November hingga 15 November.

Pada Rabu, Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, kerosakan pada sistem kawalan tren automatik (ATC) LRT dikesan Sabtu lepas. Bagaimanapun, pasukan kejuruteraan RapidKL tidak dapat menangani isu tersebut.

Kira-kira 200,000 penumpang dilaporkan terjejas akibat gangguan perkhidmatan LRT.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button