Berita Utama

Bumiputera layak dapat, dakwaan Khalid lebih pada raih sokongan politik

Mengapa tak puas hati, fakta jelas Bumiputera paling terjejas

BANGI, 4 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Tidak pelik sekiranya Bumiputera menerima peruntukan besar dalam Belanjawan 2021 kerana secara realitinya mereka adalah golongan paling terjejas dan memerlukan dari segi ekonomi.

Menurut kajian yang dibuat oleh Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), 59 peratus Bumiputera dikategorikan di bawah kemiskinan tegar, malah pendapatan isi rumah Bumiputera adalah yang terendah berbanding Cina dan India.

Statistik juga menunjukkan bahawa purata gaji dan pemilikan harta Bumiputera adalah jauh ketinggalan dan dijangka berterusan jika tiada tindakan yang wajar diambil.

Justeru, dakwaan bahawa pemberian peruntukan yang tinggi kepada Bumiputera sebagai ketidakadilan kepada kaum lain adalah tidak berasas dan lebih kepada untuk mendapatkan sokongan politik kaum lain sahaja.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, jika diteliti secara mendalam, sebenarnya Bumiputera adalah golongan paling terpinggir di negara ini.

Katanya, walaupun ada polisi-polisi yang sepatutnya membantu Bumiputera tetapi telah banyak disalah gunakan di mana hanya segelintir sahaja yang benar-benar menerima manfaatnya itu manakala yang lain tidak menerima sekadarnya dan terus terpinggir.

“Lagipun, bagi saya jumlah yang dikatakan banyak itu masih kecil untuk benar-benar membantu Bumiputera.

“Kalau dilihat pada perspektif kesan dari krisis ekonomi di kala COVID-19 ini pula, memang jelas yang golongan paling terjejas adalah Bumiputera kerana majoriti yang makan gaji dan terkesan adalah Bumiputera. Yang kehilangan pekerjaan juga majoritinya adalah Bumiputera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Parti Amanah Negara (PAN) mendakwa peruntukan dalam Belanjawan 2021 kepada bukan Bumiputera tidak adil dan dibuat sebagai belanjawan pilihan raya untuk menarik sokongan Melayu-Islam.

Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad berkata, dengan jumlah wang yang besar diperuntukkan kerajaan dalam Belanjawan 2021, ia sewajarnya diagihkan secara adil dan saksama kepada rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

Katanya, kesan wabak COVID-19 ke atas rakyat khususnya dari segi ekonomi, merentasi sempadan bangsa, agama, warna kulit, kaum, budaya dan bahasa.

Oleh itu katanya, semua pihak terjejas dan amat perlu dibantu.

Dalam perkembangan sama, Haji Aminuddin menegaskan, ketidakadilan yang diratib-ratibkan itu adalah sesuatu yang sengaja mahu disalahertikan – pastinya akan menyemai rasa ketidakpuashatian kaum lain pada Bumiputera, khususnya orang Melayu yang semakin menjadi-jadi ketika ini.

Tegasnya, keadilan bukannya bermakna memberi sama banyak tetapi memberikannya kepada yang lebih berhak.

“Lagipun Bumiputera adalah rakyat kita juga, malah adalah peribumi tanah ini. Mengapa tidak puas hati seolah-olah kita mahu beri peruntukan kepada orang asing pula?

“Saya sungguh hairan, mengapa sampai perlu buat sidang media khas pula untuk perkara ini. Dalam banyak-banyak perkara yang boleh dibantah, ini juga menjadi pilihan. Mengapa ya?,” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button