Berita Utama

Rasuah seolah diterima sebagai norma, hingga pelaku tak anggap ‘jenayah’

Keselamatan negara juga dikompromi, diceroboh oleh pihak ambil kesempatan

BANGI, 2 Rejab 1442H, Ahad – Jenayah rasuah akan terus berlaku selagi terdapat pihak yang sanggup memberi dan menerima tanpa memikirkan kesan pada masa hadapan.

Penganalisis politik, Azizi berkata, perkara itu akhirnya akan menggugat keselamatan dan pertahanan negara.

Malah, katanya, sempadan negara turut dikompromi akibat daripada kesan amalan berkenaan.

Beliau melihat amalan semakin parah, lebih malang ada pihak tidak segan silu untuk melakukannya walaupun tahu ia perbuatan tidak bermaruah.

“Dengan adanya pihak yang sanggup menerima rasuah, keselamatan negara juga telah dikompromi dan diceroboh oleh pihak yang gemar mengambil kesempatan,” katanya seperti dilapor SInar Harian.

Mengulas mengenai perkara sama, Azizi berkata, perbuatan rasuah atau korupsi sudah menjadi jenayah yang diterima sebagai satu norma dalam kehidupan masyarakat di negara ini.

Beliau berkata, terdapat segelintir individu yang menganggap bahawa perbuatan rasuah tidak salah.

Sehinggakan, rasuah tidak lagi dianggap sebagai satu jenayah atau dosa sama ada kepada si pemberi atau penerima dan ini sangat merbahaya untuk negara.

Katanya, penerima rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan, khususnya individu yang terbabit dengan penguatkuasaan undang-undang, pertahanan dan keselamatan negara boleh diklasifikasikan sebagai pengkhianat negara.

“Saya berpendapat orang Islam di negara ini mungkin telah termakan daging import yang haram atau status halalnya diragui menyebabkan ada dalam kalangan yang berpangkat sanggup menerima rasuah.

“Mereka ini boleh diumpamakan sebagai pengkhianat negara kerana amanah dan tanggungjawab yang diberikan tidak dipikul dengan baik,” katanya.

Katanya, penerima dan pemberi rasuah perlu dihukum dengan hukuman yang sama untuk mengelakkan pemberi rasuah terus berani memberi suapan.

“Hukuman terhadap kedua-duanya iaitu pemberi dan penerima rasuah perlu sama berat supaya orang yang mahu beri rasuah pun takut dikenakan hukuman (berat), menyebabkan mereka akan berfikir dua kali,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button