Berita Utama

DAP tak perlu melatah, larangan arak tidak langgar hak sesiapa

DAP rancang anjur bantahan, kumpul pihak berkepentingan terjejas

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 4 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Pelaksanaan peraturan baharu arak beralkohol tinggi yang bakal dikuatkuasakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak langsung melanggar hak asasi mana-mana pihak.

Justeru, tidak perlulah parti tamak haloba, DAP ‘melatah’ sehingga mahu bertindak mengumpul bantahan daripada pihak berkepentingan yang terjejas dengan peraturan berkenaan.

Walhal, pelaksanaan larangan itu hanyalah sekatan yang sangat terhad, dan bukan bertujuan menghapuskan penjualan arak secara menyeluruh, kata Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Zaizul Azizi Zaman.

“Tiada isu sekatan ini melanggar hak asasi sesiapa, bahkan larangan sama saya perhatikan di kebanyakan negara Barat.

“Malah, peraturan baharu ini juga hanya sekatan yang sangat terhad, bukan menghapuskan penjualan arak secara total,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menegur sikap tidak puas hati DAP Wilayah Persekutuan terhadap garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras yang mula berkuat kuasa pada Isnin lepas.

Garis panduan itu antara lain turut menetapkan bahawa kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober tahun depan.

Bagaimanapun, perkara itu sudah dijangka akan mendapat tentangan daripada DAP, yang menuduh peraturan berkenaan melanggar hak orang bukan Islam untuk mengamalkan budaya mereka – kononnya dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai berkata, peraturan itu juga dilihat ‘antiperniagaan’ dan yang menjadi korban adalah peniaga yang mematuhi undang-undang dan membayar cukai.

Lantaran itu, Tan memaklumkan akan mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur bagi memohon keputusan itu ditarik balik.

Sudah menjangkakan tindakan daripada parti cauvinis itu, Haji Zaizul menggesa pihak DBKL dan Menteri Wilayah Persekutuan untuk kekal tegas serta tidak tunduk dengan desakan DAP.

“Kita perlukan ‘political will’ untuk melaksanakan keputusan yang baik ini, tanpa perlu tunduk kepada tekanan daripada pihak lain,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button