Berita Utama

Gerik, Bugaya wajar diisytihar darurat elak PRK, ancaman COVID-19

Pinda peruntukan baharu sesuai keadaan negara diancam pandemik

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 4 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Sudah tiba masanya untuk Ahli-Ahli Parlimen meminda atau memasukkan peruntukan baharu dalam Akta Pilihan Raya 1954, selaras dengan keadaan negara yang sedang berdepan pandemik COVID-19.

Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) melihat terdapat keperluan untuk peruntukan baharu dimasukkan, berhubung kebenaran menangguhkan pelaksanaan pilihan raya yang merisikokan penularan wabak menjadi lebih buruk.

Ketua Unit Kesihatan Awam I-Medik, Dr Mohd Ihsanuddin Abas berkata, sekiranya Yang di-Pertuan Agong tidak mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi, pilihan raya kecil (PRK) di kawasan itu pasti sudah diadakan.

“Kita mengalu-alukan tindakan kerajaan untuk meminta perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengumumkan darurat di Parlimen Batu Sapi bagi mengelakkan PRK.

“Ini berkaitan kesan peningkatan kes COVID-19 selepas PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah yang telah menyebabkan lebih 24,000 kes dan 180 kematian,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Dr Mohd Ihsanuddin berkata, pengisytiharan darurat itu adalah wajar dengan keadaan kes di Sabah yang kekal tinggi, dan pada masa sama berharap kerajaan mempertimbang meminda peruntukan berkaitan pilihan raya sewaktu krisis pandemik.

Justeru, beliau berkata, dua lagi kawasan membabitkan Parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya juga wajar diisytiharkan darurat bagi mengelakkan PRK perlu diadakan.

“Setiap PRK yang diadakan akan membelanja jutaan ringgit dan dalam keadaan pandemik sekarang menyebabkan penyebaran jangkitan lebih meluas.

“Kerusi berkenaan boleh sahaja dibiarkan kosong atau diserahkan kepada parti yang menyandangnya pada PRU (pilihan raya umum) sebelum ini,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya undang-undang larangan lompat parti juga diwujudkan supaya tiada lagi kes pertukaran kerajaan, sehingga memaksa pilihan raya berulang kali atau krisis politik.

“Jadi, tidak perlu lagi isu sama ada perlu PRK di Parlimen Gerik dan DUN Bugaya jika akta pilihan raya berkenaan dipinda,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button