Kebun haram: 2,500 hektar diceroboh umpama 3,475 padang bola
Berapa bilion kerajaan Pahang rugi, tapi masuk poket pekebun haram

BANGI, 4 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – 2,500 hektar tanah hutan simpan yang diteroka dan diceroboh pekebun haram bagi tujuan penanaman durian Musang King, umpama 3,475 padang bola.
Ini kerana, satu hektar tanah adalah bersamaan dengan 2.47 ekar, menjadikan keseluruhan tanah yang diteroka adalah 6,254 ekar – iaitu jumlah bagi 3,475 padang bola yang berkeluasan 1.8 ekar.
Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) berkata, keluasan tanah yang diceroboh itu sudah membayangkan jumlah kerugian dihadapi kerajaan negeri Pahang, termasuk keuntungan dinikmati oleh kumpulan pekebun haram.
Atas dasar itu, PEMBELA lantang dan bersungguh bersuara dalam isu pencerobohan tanah di Pahang.
“Kerana sudah terlalu melarat dan rakyat perlu tahu bahawa tanah yang diceroboh bukanlah sedikit.
“Mungkin ramai yang tak boleh bayangkan besar dan luas manakah dalam ekar atau hektar,” kata PEMBELA dalam satu kenyataan, hari ini.
Pertubuhan yang terdiri daripada 300 NGO itu berkata, lakaran perkiraan ringkas keluasan tanah yang diceroboh itu diumpama atau dibandingkan dengan saiz padang bola sepak.
“Bayangkan berapa bilion kerajaan rugi dan duit ini dimakan secara haram oleh penceroboh untuk tujuan bisnes yang menguntungkan poket sendiri.
“Apakah orang yang kaya atas hasil yang haram akan berikan sebarang kebaikan? Tidak sama sekali, hasil yang haram akan terus digunakan untuk tujuan yang haram dan merosakkan,” katanya.