Berita Utama

KPDNHEP rampas pakaian berjenama tiruan bernilai RM67,750

Kementerian beri amaran hormati harta intelek orang lain

BANGI, 4 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas pelbagai jenis pakaian berjenama tiruan dianggarkan berjumlah RM67,750.

Tindakan itu dibuat dalam satu operasi bagi membanteras penjualan pakaian berjenama tiruan melalui transaksi dalam talian yang dijalankan di sebuah rumah di Balakong, Selangor.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, pihaknya turut mengambil keterangan seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis.

Beliau berkata, operasi dijalankan hasil daripada aduan wakil pemilik cap dagang berkaitan yang mendapati ada peniaga menjual pakaian berjenama tiruan di tapak pasar dalam talian.

“Modus operandi ini ialah mengiklankan pakaian berjenama tiruan dengan harga yang lebih murah dari pasaran bagi menarik perhatian pembeli.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan, pasukan KPDNHEP bersama wakil pemilik cap dagang mendapati pelbagai jenis baju dan seluar jenama Adidas, Puma dan Nike yang disyaki tiruan disimpan di sebuah premis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Iskandar berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

Katanya, jika sabit kesalahan seseorang boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, katanya lagi, bagi pertuduhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.

“Bahagian Penguatkuasa memberi amaran kepada individu atau syarikat tersebut agar lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek orang lain.

“Mana-mana individu mahupun syarikat yang melanggar undang-undang, terutama membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang yang dikuatkuasakan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button