Berita Utama

Larang jual arak: Abai suara sumbang dakwa ia tindakan mundur

ISMA KL sambut baik garis panduan DBKL, harap perketat kuat kuasa

BANGI, 4 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Keputusan untuk menjauhi arak adalah selari dengan perintah Islam serta wajar disokong penuh oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa atau agama demi kepentingan bersama.

Lantaran itu, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kuala Lumpur menyambut baik keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk tidak membenarkan kedai runcit dan kedai serbaneka menjual minuman berkenaan mulai Oktober 2021.

Yang di-Pertua ISMA Kuala Lumpur, Dr Osman Md Rasip berharap, DBKL teguh dengan keputusan berkenaan meskipun masih terdapat suara-suara sumbang yang mengatakan pelaksanaan peraturan sebegitu akan membawa Malaysia mundur ke belakang.

Dalam satu kenyataan, beliau turut menggesa DBKL supaya tidak bertolak ansur dengan desakan persatuan peniaga arak yang mahukan keputusan sebaliknya.

Setelah garis panduan tersebut dilaksanakan kelak, Dr Osman berharap agar tindakan pemantauan dan penguatkuasaan dijalankan dengan tegas.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Biro Dakwah ISMA Kuala Lumpur, Ahmad Firdaus Adzme berkata, usaha melarang penjualan arak sedikit sebanyak dapat membendung kes kemalangan jalan raya melibatkan pemandu mabuk yang saban hari mengorbankan nyawa penduduk awam tidak berdosa.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan keputusan DBKL tidak membenarkan kedai runcit menjual arak mulai Oktober 2021 muktamad.

Sebelum ini, DBKL memperkenalkan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras berkuat kuasa Ahad lalu.

Antara lain, garis panduan tersebut menetapkan bahawa kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober tahun depan.

Keputusan tersebut bagaimanapun dipertikaikan oleh Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai.

Menurut Tan, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk memohon supaya garis panduan baharu itu ditarik balik.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button