Berita Utama

Larangan jual arak sekat akses kepada pelajar bawah umur

Sebelum ini arak mudah didapati, dijual tanpa pantauan

BANGI, 4 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Keputusan untuk tidak membenarkan kedai runcit dan kedai serbaneka menjual arak mulai Oktober 2021 mendapat reaksi positif dalam kalangan masyarakat.

Ini kerana garis panduan baharu itu diyakini mampu mengurangkan akses pelajar di bawah umur untuk membeli minuman keras yang dilihat dijual secara terbuka sebelum ini.

Turut bersetuju dengan keputusan berkenaan adalah Ketua Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustazah Zakiah Ab Rahman yang juga seorang guru.

Ustazah Zakiah menegaskan, sebelum ini pelajar sekolah begitu mudah untuk mendapatkan minuman keras kerana dijual di kedai-kedai runcit tanpa sebarang pantauan.

“Lagi pula DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) turut menetapkan had umur pembelian minuman keras ini kepada umur 21 tahun,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ustazah Zakiah yakin garis panduan baharu itu secara tidak langsung membantu pekerja muslim mencari peluang pekerjaan di kedai serbaneka tanpa rasa ragu-ragu.

Selain itu, beliau juga berharap agar peratusan keretakan institusi kekeluargaan akan menurun kesan daripada larangan itu selepas dikuatkuasakan kelak.

“Perkara ini akan memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak muda muslim untuk bekerja di kedai-kedai serbaneka tanpa ragu-ragu.

“Ketagihan minuman keras adalah antara penyumbang kepada keruntuhan rumah tangga,” katanya.

Terdahulu, DBKL memperkenalkan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras berkuat kuasa Ahad lalu.

Antara lain, garis panduan tersebut menetapkan bahawa kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober tahun depan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button