Berita Utama

Tiada rakyat Malaysia terbabit insiden tembakan di Bangkok

Suspek usia 14 tahun ada sejarah masalah kesihatan mental ditahan

BANGKOK,  18 Rabiulawal 1445H, Rabu – Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam kejadian tembakan di Siam Paragon Mall di Bangkok pada Selasa yang mengorbankan dua individu dan mencederakan lima yang lain.

Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel berkata, pihak kedutaan sedang memantau rapat keadaan itu.

“Rakyat Malaysia yang terjejas akibat kejadian itu boleh mendapatkan bantuan dengan menghubungi kedutaan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Polis Thailand mengesahkan bahawa dua individu masing-masing warga China dan Myanmar maut dalam kejadian berkenaan, manakala lima lagi cedera.

Sebelum ini, laporan awal mengatakan tiga maut dalam kejadian itu. 

Ketua Polis Negara, Torsak Sukvimol berkata, mangsa wanita warga China berusia 34 tahun maut di lokasi kejadian, manakala warga Myanmar yang bekerja di gedung membeli-belah itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital. 

Beliau berkata, mangsa yang cedera masing-masing seorang warga Laos dan China, manakala tiga lagi rakyat tempatan.

Kesemua mangsa sedang menerima rawatan di hospital.

Beliau berkata, polis telah menahan seorang suspek berusia 14 tahun di tingkat 3 pusat beli-belah itu.

“Suspek menyerahkan senjata api yang digunakannya,” katanya kepada pemberita ketika melawat lokasi kejadian.

Katanya, suspek mempunyai sejarah masalah kesihatan mental.

Sementara itu, Perdana Menteri Srettha Thavisin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Jurucakap Kementerian Luar Kanchana Patarachoke berkata kementerian sedang berhubung dengan kedutaan yang terlibat untuk menawarkan bantuan kepada keluarga mangsa yang terjejas.

“Memandangkan kes itu masih dalam siasatan, beberapa maklumat tidak dapat didedahkan dan pihak kami sedang mengambil langkah yang sewajarnya.

“Keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk memastikan keselamatan rakyat Thailand dan warga asing, dan memastikan tragedi seperti itu tidak berulang pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kanchana bagi pihak Kementerian Luar turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka yang cedera segera sembuh.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button