Berita Utama

Miliki majoriti ADUN Islam, tiba masa Melaka ikut jejak DBKL

Bukan hanya Islam, amalan minum arak juga tiada dalam agama lain

BANGI, 4 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Sudah tiba masanya, kerajaan Melaka mengambil langkah proaktif mengikut jejak langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam memperketatkan penjualan arak di negeri berkenaan.

Ini kerana, Melaka adalah antara negeri yang awal menjuarai isu itu, selepas terdapat ura-ura bahawa Ketua Menterinya, Datuk Sulaiman Md Ali bercadang mengkaji semula undang-undang penjualan arak pada Jun lalu.

Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada sebarang langkah dan keputusan konkrit yang dicapai.

Sehubungan itu, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Melaka Tengah menggesa kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memainkan peranan serta memandang serius isu tersebut.

Yang Dipertua ISMA Melaka Tengah, Dr Khair Razlan berkata, pihaknya menyokong dan mengucapkan tahniah atas keberanian serta tindakan lantang DBKL memperketat peraturan melalui Garis Panduan dan Syarat Permohonan Lesen Minuman Keras.

“Dengan majoriti ADUN beragama Islam di DUN Melaka ketika ini, saya kira tiada lagi sebab mengapa mereka tidak boleh memainkan peranan penting dan tegas untuk melihat perkara ini secara serius,” katanya.

Beliau menegaskan, bukan hanya Islam menitikberatkan kesan buruk arak dan perkara memabukkan, bahkan ia juga diselar dalam amalan agama lain seperti Kristian, Buddha serta Hindu.

“Ia bukan is agama semata-mata. Menjaga keselamatan rakyat adalah keutamaan pihak berwajib.

“Kita meyakini bahawa dengan menutup ibu pintu segala maksiat iaitu minuman memabukkan seperti arak, pastinya bukan sahaja mampu mengurangkan bahkan menghapuskan segala macam masalah sosial dan kemalangan akibat kecuaian pemandu mabuk,” katanya.

Terdahulu, DBKL memperkenalkan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras berkuat kuasa Ahad lalu.

Antara lain, garis panduan tersebut menetapkan bahawa kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober tahun depan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button