Dunia

Semua undang-undang akan digunakan terhadap penunjuk perasaan

Tiada tanda-tanda ketegangan akan berkurangan: PM Thailand

BANGKOK, 4 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha berkata, semua undang-undang akan digunakan terhadap penunjuk perasaan yang melanggar undang-undang ketika ketegangan politik terus meningkat di negara itu.

Pengumuman itu dibuat dua hari selepas tunjuk perasaan antikerajaan menjadi ganas sehingga menyebabkan 55 orang cedera, termasuk enam yang mengalami kecederaan akibat terkena tembakan ketika berkumpul di luar Parlimen.

Ketika ribuan penunjuk perasaan mengadakan perhimpunan di sekitar bandar raya ini mendesak perubahan politik, Prayuth yang juga Menteri Pertahanan berkata, tiada tanda-tanda menunjukkan ketegangan itu semakin berkurangan.

Beliau berkata, kerajaan dan semua pihak yang berkaitan telah berusaha mencari jalan penyelesaian secara aman dengan penunjuk perasaan berdasarkan kerangka perundangan yang ada dan sistem yang diamalkan oleh kerajaan demokratik.

“Ketika ini, ketegangan masih tinggi dan berpotensi berkembang menjadi konflik, yang mungkin boleh menyebabkan timbul keganasan. Keadaan ini akan merosakkan institusi kerajaan yang dihormati dan juga membahayakan keselamatan rakyat.

“Kerajaan akan meningkatkan semua tindakan dan menggunakan semua undang-undang sedia ada terhadap penunjuk perasaan yang melanggar undang-undang atau melanggar hak dan kebebasan warga lain,” katanya.

Beliau berkata, tindakan undang-undang yang akan diambil adalah mengikut sistem perundangan negara itu.

Tunjuk perasaan di luar Parlimen pada Selasa bertukar ganas apabila polis rusuhan menembak meriam air dan gas pemedih mata untuk menyuraikan para penunjuk perasaan.

Prayuth berkata, pasukan keselamatan telah melakukan tindakan yang terbaik untuk memastikan keselamatan orang ramai.

“Semua langkah diambil dengan berhati-hati dan sesuai dengan standard antarabangsa yang bertujuan menjaga kesejahteraan di samping berkompromi, demi kepentingan terbaik bagi negara dan rakyat Thailand,” katanya.

Sejak pertengahan Julai, para penunjuk perasaan antikerajaan berkumpul di Bangkok dan bandar lain, mengulangi tuntutan mereka untuk perubahan politik, termasuk pengunduran Perdana Menteri, pembubaran Parlimen, meminda Perlembagaan dan reformasi terhadap sistem monarki. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button